Kuala Lumpur, 26 Februari 2020 –Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Surat peletakan jawatan telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Berita itu disahkan oleh Pejabat Perdana Menteri sebentar tadi.”Tun Dr Mahathir Mohamad telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh hari ini. “Surat itu telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada pukul 1.00 tengah hari,” menurut kenyataan itu.
Perkembangan ini susulan keputusan beberapa parti politik yang mengadakan mesyuarat masing-masing sejak awal pagi dan semalam.
Terkini, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti berkenaan keluar Pakatan Harapan (PH).
Dr Mahathir adalah antara pengasas dan Pengerusi BERSATU yang juga Pengerusi PH.
Terdahulu, PKR memecat Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin sebagai ahli parti atas ‘pengkhianatan terbuka’ yang dilakukan mereka.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, dengan pemecatan itu, secara automatik jawatan Timbalan Presiden yang disandang Mohamed Azmin dan Zuraida sebagai Naib Presiden turut terlucut.
Menurutnya, ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira peranan dua menteri itu sebagai ‘watak utama’ mencetuskan ketidakstabilan politik negara.
Sementara itu, 11 Ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti itu dan PH bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.
Mereka adalah Mohamed Azmin Ali iaitu Ahli Parlimen Gombak, Zuraida (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok) ,Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).
Discussion about this post