Lebih 13,000 pengumpul dan pengkaji duit atau replika peringatan keluaran lama serta moden dikenali sebagai ‘numismatik‘, berdepan risiko kerugian angkara sindiket mata wang palsu. Sindiket dari China itu dipercayai menghasilkan duit palsu dan menjualnya sehingga puluhan ribu ringgit bagi nilai sekeping duit selepas mendapati permintaan terhadap hobi numismatik semakin bertambah.
Pada masa sama, terdapat penjual duit lama membuka bidaan duit palsu secara terbuka kepada peminat numismatik dengan menjanjikan ia satu pelaburan yang baik.
Pengkaji numismatik, Ahmad Nasyruddin Ismail, berkata modus operandinya ialah membuka lelongan menerusi laman sosial Facebook (FB) atau Instagram dengan status Tujuan Kajian Sahaja dan memadam status bidaan sebaik ada pembeli.
Katanya, hasil kajiannya mendapati terdapat 300 jenis duit unik daripada keluaran lama atau yang moden sudah dipalsukan dan dijual di pasaran negara ini. Sebahagian daripadanya, katanya, digunakan sebagai rujukan untuk persatuan dan program pameran numismatik.
Pasaran Gelap
“Antaranya adalah duit syiling 10 sen keluaran 1971; 50 sen keluaran 1969; duit abad ke 15-18 Kesultanan Melaka; Kesultanan Johor; Kesultanan Kelantan-Pattani; Kesultanan Terengganu Kesultanan Pahang; era penjajah seperti Portugis; Belanda; Jepun dan British, pernah dibida sehingga RM5,000 sekeping.
“Lebih membimbangkan, trend penghasilan duit palsu ini bukan sahaja untuk pasaran gelap tetapi juga dihasilkan untuk urus niaga harian.
“Kita juga dimaklumkan penemuan duit palsu dalam urus niaga bazar Ramadan dan pasar malam kerana ia sukar dikesan dan kurangnya pemahaman peniaga mengenali wang palsu ini.”
Tiru tandatangan Gabenor BNM
“Ubah suai duit tulen iaitu dengan meniru tanda tangan Gabenor BNM. Secara majoriti pemalsuan ini membabitkan duit moden atau duit propaganda seperti di zaman penjajahan Jepun.
“Duit replika pula dianggap sebagai palsu jika tidak dicop sebagai contoh perkataan ‘Specimen’ serta menyalahi undang-undang negara kerana menyalin mata wang asli tulen kepada tiruan tanpa kebenaran kerajaan atau BNM.
“Fantasi adalah duit palsu kerana tidak menggunakan corak reka bentuk asal sebenar oleh pengeluar duit yang diiktiraf kerajaan. Contohnya duit syiling gambar Nabi Hidir atau yang menggunakan ayat al-Quran,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa duit palsu yang enggan dikenali mendakwa membeli duit syiling peringatan Tunku Abdul Rahman bernilai RM100 keluaran 1971 pada harga RM4,000 sekeping sebelum menyedari ia palsu.
Mangsa adalah seorang penjual duit lama dan membuat urus niaga berkenaan sebagai pelaburannya sebelum menyedari dia ditipu.
Kurang ilmu punca tertipu
Peminat numismatik disaran merujuk buku panduan yang direkodkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan pengkaji duit palsu bagi mengelakkan diri daripada tertipu.
Presiden Kelab Warisan Numismatik Malaysia (KWNM), Datuk Sharuddin Yusof, berkata peminat numismatik yang kurang pengetahuan dan tidak merujuk kepada pakar serta orang berpengalaman akan mudah tertipu dengan kegiatan itu.
Katanya, duit asli dan duit palsu boleh dikenali menerusi bentuknya, timbangan berat dan bentuk tulisan serta ketepatan kaligrafi.
“Cara mengenal pasti duit palsu adalah menyentuh dan melihat permukaan duit palsu yang lebih cembung, salutan logam dan sebagainya ke atas duit syiling.
“Bagi wang kertas pula, ia boleh dilihat pada tanda bayang, warna cetakan dan ciri keselamatan mengikut keluaran setiap pemerintah.
Baca Selanjutnya: 5 Peraturan Pengurusan Wang
Discussion about this post