KUALA LUMPUR, 20 Mac 2020: Affin Bank Bhd dan Affin Islamic Bank Bhd akan menawarkan bantuan pelepasan kewangan yang komprehensif untuk pelanggan yang terjejas akibat COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Bhd, Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata, ia bertujuan mengurangkan beban kewangan pelanggan yang terpaksa menanggung ketidakpastian pasaran dan kesusahan kewangan.
“Kami komited untuk meneruskan sokongan kepada para pelanggan yang telah memilih kami sebagai rakan perbankan pilihan mereka dengan meringankan mereka daripada kesusahan dalam saat-saat yang mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk pelanggan runcit, bank akan menyediakan moratorium sehingga enam bulan, penstrukturan dan penjadualan semula kemudahan pembiayaan ke atas pelanggan yang terlibat dalam gadai janji, sewa beli, kad kredit, pembiayaan pendidikan, pembiayaan Amanah Saham Nasional Bhd dan peribadi.
Bagi pelanggan perbankan korporat, bank akan memberikan kelegaan sementara kepada pelanggan terjejas yang layak seperti yang termaktub dalam Garis Panduan Risiko Kredit Bank Negara Malaysia dan permintaan tersebut akan tertakluk kepada kelulusan dalaman dan usaha wajar kredit.
Bantuan tersebut mungkin merangkumi penjadualan dan penyusunan semula seperti pemberian moratorium ke atas pinjaman/pembiayaan termasuk pembayaran balik sehingga enam bulan, tertakluk kepada terma dan syarat.
Bank juga menggalakkan pelanggan untuk melakukan transaksi perbankan melalui platform dalam talian di www.affinonline.com bagi memudahkan transaksi.
Semua cawangan akan kekal dibuka seperti biasa.
Untuk keselamatan dan kesihatan pelanggan termasuk pekerja, bank akan mengambil langkah berjaga-jaga seperti saringan suhu untuk semua pelanggan.
Discussion about this post