KUALA LUMPUR – Kerajaan sedaya upaya memastikan rakyat mempunyai pekerjaan dengan inisiatif yang dilaksanakan menerusi pakej rangsangan seperti melaksanakan subsidi upah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata berdasarkan unjuran memperlihatkan kadar pengangguran boleh meningkat melebihi lapan peratus, yang ia sangat tinggi berbanding sebelum ini sekitar antara 3.2 peratus hingga 3.3 peratus.
Justeru, beliau berkata, langkah untuk membuka semula ekonomi adalah untuk melindungi pekerjaan rakyat di negara ini di samping memulihkan semula aktiviti ekonomi negara.
Katanya, tindakan kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) yang membolehkan rakyat kembali bekerja dan memiliki pendapatan juga dapat mengelakkan krisis pengangguran lebih buruk.
“Keadaan yang dihadapi ketika ini juga memberi ruang kepada kerajaan untuk melihat semula dasar buruh asing dengan meninjau mengurangkan jumlah buruh asing di negara ini.
“Kita menghala ke fasa ekonomi berkembang perlahan-lahan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Bicara Naratif terbitan RTM di Angkasapuri, malam tadi.
Mustapa berkata, ketika ini bilangan buruh asing di Malaysia berjumlah dua juta orang dan kemungkinan mengurangkannya kepada 500,000 orang pada satu ketika nanti bagi memberikan rakyat tempatan peluang pekerjaan yang lebih.
Katanya, kerajaan akan melihat semula beberapa industri yang memiliki daya tahan dan mampu bersaing untuk diberikan galakan.
“Kita akan tengok industri yang mampu bersaing. Kerajaan akan menilai dari segi insentif dan melihat dasar dan keperluan buruh asing yang ketika ini berjumlah 2 juta orang di Malaysia.
“Apabila jumlah buruh asing dapat kawal, maka kita dapat membuka peluang kepada rakyat tempatan dari sektor pekerjaan,” katanya.
Sumber – Berita Harian
Baca Seterusnya – AKPK: Bukan Cuti Bayar Hutang
Discussion about this post