KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan pengeluaran untuk had umur 50, 55 dan 60 tahun serta pengaktifan i-Akaun di negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), termasuk negeri Selangor dan Negeri Sembilan bermula Rabu ini.
Walau bagaimanapun, cawangan KWSP yang terletak di negeri Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Sabah dan Sarawak akan kekal tutup sehingga dimaklumkan kelak.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias menyatakan bahawa pihaknya maklum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu adalah satu langkah perlu, namun urusan yang memerlukan transaksi bersemuka akan terganggu apabila PKP dilanjutkan.
“Berikutan pengumuman PKPB baru-baru ini, kami ingin mengumumkan penyambungan semula beberapa perkhidmatan di cawangan-cawangan yang diluluskan di seluruh negara.
“Bagi menjaga kesihatan dan keselamatan ahli serta petugas daripada risiko pendedahan COVID-19, kami akan mengenakan beberapa syarat yang ketat di cawangan KWSP yang bakal beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara syarat itu termasuk cawangan hanya menyediakan transaksi yang mudah dan cepat yang tidak memerlukan kontak secara fizikal, iaitu pengeluaran umur 50, 55 dan 60 tahun dan pengaktifan i-Akaun.
Majikan juga tidak dibenarkan untuk hadir di cawangan kerana semua perkhidmatan boleh dilakukan dengan menghubungi pegawai Khidmat Nasihat Majikan masing-masing selain semua ahli dikehendaki mematuhi langkah-langkah penjarakan sosial yang ditetapkan ketika hadir di cawangan.
Tuanku Alizakri berkata, selain itu, ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu melalui saluran Janji Temu Online di laman sesawang www.kwsp.gov.my bermula Selasa esok.
Katanya, pihaknya maklum ramai ahli menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan KWSP sepanjang satu setengah bulan yang lalu.
“Kami berharap mereka memahami bahawa COVID-19 melenyapkan cara dan kaedah lama bekerja dan memaksa kita menerima realiti baharu iaitu mengurangkan sentuhan, melebihkan jarak yang mesti dibiasakan.
“Kami memohon kemurahan hati dan kesabaran ahli agar KWSP boleh beralih kepada norma baharu ini secepat mungkin,” katanya lagi.
Tambah beliau, KWSP akan berusaha menyediakan keseluruhan produknya dengan perkhidmatan yang berkualiti melalui semua saluran fizikal iaitu melalui cawangan, jangkauan dan kiosk serta saluran elektronik iaitu pusat perhubungan, laman sesawang dan aplikasi telefon pintar.
Baca Selanjutnya: Peluang Pekerjaan Untuk Rakyat Masih Ada
Discussion about this post