KUALA LUMPUR – Penjaja dan peniaga kecil bersedia mematuhi syarat serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dengan pembukaan semula sektor itu tidak lama lagi.
Mereka juga memberi komitmen akan menuruti arahan dan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan peniaga serta pelanggan diutamakan apabila kembali beroperasi.
Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Sharin Abdullah, berkata kebenaran pembukaan semula perniagaan sangat melegakan dan persatuan akan mematuhi semua SOP ditetapkan dan pihaknya kini bersedia pada bila-bila masa sekiranya sektor itu dibuka semula.
“Tempoh empat bulan ini sangat perit bagi peniaga kecil dan penjaja. Kami hilang mata pencarian walaupun ada sesetengahnya mencari alternatif lain mencari rezeki dengan berniaga secara dalam talian.
“Kami berterima kasih dan akur dengan semua arahan atau SOP ditetapkan. Kami faham, aspek keselamatan dan kesihatan perlu diutamakan dalam membantu memutuskan rantaian COVID-19 ini,” katanya kepada BH di sini, hari ini.
Semalam, kerajaan membayangkan untuk memberi kelonggaran kepada peniaga kecil dan penjaja beroperasi semula berikutan penyusutan kes harian COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengakui kerajaan menerima banyak permohonan daripada pelbagai pihak terjejas teruk pendapatan untuk kembali beroperasi.
Perkara sama diakui Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang menyatakan lebih banyak sektor membabitkan rakyat tempatan boleh diberi kelonggaran beroperasi semula, selari penyusutan kes harian COVID-19.
Sementara itu, Yang di-Pertua Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia Wilayah Persekutuan (DPUKMWP), Datuk Aznain Abdullah, berkata kelonggaran itu memberi ruang peniaga kecil kembali bernafas berikutan ramai terpaksa gulung tikar ekoran tiada pendapatan dan modal.
Katanya, langkah membenarkan semula operasi perniagaan khabar gembira ditunggu peniaga.
“Peniaga kecil sangat bersyukur dengan pengumuman ini dan pastinya mengambil peluang ini untuk kembali aktif dalam menyemarakkan kembali urus niaga setelah sekian lama terganggu dan terbantut.
“Peniaga kecil dan penjaja akan mengamalkan disiplin diri dalam memastikan kebersihan makanan dan premis. Kita akan patuhi setiap SOP dan amalan norma baru sepenuhnya.
“Saya percaya ini peluang terbaik bagi kami untuk melonjakkan semula ekonomi domestik terjejas teruk akibat COVID-19.
“Sektor ekonomi dan kesedaran penjagaan kesihatan harus seiringan dan peniaga harus memainkan peranan masing-masing dalam usaha ini,” katanya.
Beliau menegaskan kerjasama peniaga dan pihak berkuasa sangat penting dan dilaksanakan dengan tegas.
Sumber – Berita Harian
Baca Seterusnya – Moratorium Pinjaman Bank Rakyat Mencecah RM6 Bilion
Discussion about this post