Skandal penipuan melibatkan duit pelabur bukanlah perkara yang baru dalam dunia pasaran saham. Setiap tahun, terdapat sebahagian daripada syarikat yang berjaya menipu duit pelabur walaupun syarikat tersebut sudah berjaya disenaraikan dalam pasaran saham.
Sekali lagi, dunia telah dikejutkan dengan penipuan yang melibatkan sebuah syarikat dari China yang dikatakan bakal menjadi pesaing hebat kepada Starbucks baru-baru ini.
Luckin Coffee merupakan syarikat kopi premium dari China yang baru sahaja mendarat di pasaran Wall-Street pada 17 May 2019 dengan harga IPO serendah $17 seunit. Hari pertama saham Luckin naik sampai $25 seunit, atau 50% dari harga IPO tapi lepas tu turun balik sebab sentiment negatif berikutan perang dagang antara Amerika Syarikat dan China sudah mula merasuk pasaran saham dunia.
Apa yang menarik tentang Luckin Coffee dari China ini adalah mereka mempunyai misi untuk menurunkan harga kopi premium ke paras mampu milik dan menyasarkan golongan mampu milik. Luckin ditubuhkan oleh Jenny Qian Zhiya pada tahun 2017 di Beijing China. Dalam masa setahun setengah, Luckin sudah mempunyai sekitar 2000 cawangan di seluruh China.
Pengasas Luckin Cofee, Jenny Qian Zhiya.
Konsep Luckin Coffee adalah berbeza dengan Starbucks, di mana kebanyakan cawangannya berkonsep On-The-Go atau Grab and Go. Cawangan Luckin Coffee adalah kecil sebab tu meraka mampu untuk membuka beribu-ribu cawangan dalam masa hanya setahun. Tempah dalam talian adalah salah satu forte Luckin di mana pelanggan hanya perlu order melalui aplikasi dan kopi akan sampai dalam masa 18 minit.
Namun begitu, ada sesetengah penganalisis percaya bahawa model ini akan memberi kesan yang negatif terhadap perkembangan syarikat untuk tempoh jangka masa yang panjang, kerana menjual kopi di bawah harga pasaran.
Selain faktor harga yang murah, faktor utama yang dimiliki oleh syarikat ini dalam menembusi pasaran kopi premium adalah dengan mengintegrasi sepenuhnya kemudahan internet bagi memudahkan urusan jual beli dengan pelanggan mereka. Luckin Coffee turut telah membangunkan aplikasi khusus dan ditambah dengan model perniagaan yang unik ini, mereka telah berjaya menarik minat para pelabur untuk melabur ke dalam syarikat.
Pada tahun 2019, syarikat Luckin Coffee berjaya disenaraikan di pasaran saham kedua terbesar di Amerika Syarikat, iaitu Nasdaq. Jumlah pelaburan yang diterima begitu luar biasa, iaitu sebanyak $3 bilion dan merupakan syarikat dari China yang paling banyak menerima pelaburan dari pasaran Amerika Syarikat pada tahun lepas.
Namun, dengan model perniagaan yang tidak berapa menguntungkan, syarikat tersebut telah membuat satu kesalahan yang besar, di mana syarikat tersebut telah memalsukan jumlah keuntungan syarikat tersebut sebanyak $310 juta. Hal ini telah menyebabkan harga saham syarikat tersebut jatuh dengan begitu mendadak sekali, daripada setinggi $50 pada awal tahun, kini ianya bernilai $3 sahaja.
Orang yang bertanggunjawab dalam hal ini adalah Ketua Pegawai Operasi, Jian Liu. Pihak Nasdaq telah bertindak dengan membuang senarai syarikat tersebut dari pasaran sahamnya pada bulan yang lepas.
Hal ini telah menimbulkan kemarahan Donald Trump yang sememangnya merupakan anti-China dan telah mengarahkan supaya pihak Nasdaq mengetatkan lagi peraturan bagi syarikat dari China sebelum mereka layak mengapungkan saham mereka di pasaran negara tersebut.
Begitulah fakta di sebalik skandal penipuan saham oleh syarikat Luckin Coffee yang telah berlaku, sehingga mengejutkan para pelabur saham Amerika Syarikat sendiri. Skandal syarikat China ini telah disenaraikan dalam senarai skandal penipuan pelaburan saham di dunia.
Baca Selanjutnya: Nak Tambah Wang Saku Anda? Sertailah FoodPanda Sekarang
Discussion about this post