KUALA LUMPUR – Kerajaan telah membenarkan pelbagai aktiviti untuk dijalankan semula seperti panggung dan teatar dan kita perlu sentiasa beringat untuk sentiasa patuh SOP dan jangan terlalu seronok.
Sudah tentu, kita tidak mahu kes jangkitan COVID-19 di negara ini kembali meningkat dan wujud kembali kluster baharu, dek kealpaan dan kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan.
Dalam kita berseronok rentas negeri dan kunjung-mengunjung, tanpa kita sedar, terdapat lima individu dijangkiti yang muncul dari kluster baharu akibat dari aktiviti kunjung-mengunjung
Walaupun jumlahnya hanya satu angka, tidak mustahil angka itu akan meningkat serta timbul lagi kluster baharu seumpamanya, jika aspek kawalan kendiri termasuk amalan jarak sosial diabaikan.
Bagi ‘kaki wayang’ dan penggemar filem tempatan, mahupun antarabangsa, pengumuman kerajaan semalam untuk membenarkan pawagam kembali beroperasi bermula 1 Julai depan, sudah tentu merupakan satu perkhabaran gembira.
Selepas hampir tiga bulan terpaksa menonton ‘layar kecil’ di rumah dengan rancangan dan filem lama yang disiar berulang kali, baik menerusi siaran televisyen digital percuma, mahupun stesen televisyen berbayar, kelonggaran yang diberikan ini amat ditunggu-tunggu.
Antara filem yang dijadual untuk ditayangkan di pawagam adalah filem perisikan British terkenal, ‘James Bond: No Time to Die’, yang sepatutnya ditayangkan pada April lepas, namun terpaksa ditunda berikutan penularan wabak COVID-19.
Turut ‘beratur’ menunggu giliran untuk ditayangkan termasuk filem francais Marvel ‘Black Widow’; filem keluaran Walt Disney Pictures ‘Mulan’, serta filem seram ‘Antlers’ dan ‘Antebellum’.
Bukan sahaja dapat menonton wayang, kerajaan turut memutuskan untuk membenarkan aktiviti teater dan ‘live event’, serta riadah kolam renang di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar dan kolam renang persendirian.
Kebenaran yang sama juga diberikan terhadap penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus atau latihan.
Tetapi kita kena sentiasa Ingat, kita belum menang walaupun semalam buat kali kedua, tiada kes penularan di negara ini dalam kalangan warganegara direkodkan, selepas kali pertama dicatatkan pada 9 Jun lepas.
Berjaya atau tidak usaha untuk memutuskan rantaian pandemik ini, banyak bergantung kepada usaha rakyat sendiri, kerana Malaysia hanya boleh mengumumkan bebas daripada jangkitan COVID-19 sekiranya tiada kes baharu direkodkan dalam tempoh 28 hari.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Pawagam dan Acara Secara Langsung Dibenar 1 Julai
Discussion about this post