KUALA LUMPUR – Kempen e-Dagang Perusahaan Mikro dan Perusahaan Kecil (PKS) telah dilancar oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Kempen itu bermula 1 Julai dan akan berakhir pada 30 September.
MDEC dalam satu kenyataan berkata kempen e-dagang PMPKS itu bertujuan untuk menggalakkan penggunaan e-dagang oleh perniagaan tempatan bagi meluaskan lagi capaian pasaran mereka.
“PMPKS dan perniagaan tempatan yang mahu menyertai kempen tersebut boleh mendaftar menerusi www.go-ecommerce.my/PENJANA,” kata perbadanan itu.
MDEC berkata kerajaan telah memperuntukkan RM70 juta di bawah PENJANA untuk melaksanakan kempen bagi mempermudah perniagaan tempatan mengekalkan operasi mereka dan meningkatkan produktiviti secara beransur-ansur.
Kempen itu melibatkan 10 rakan e-dagang, termasuk Boost, Foodpanda, Grab, Lazada, Maybank, Shopee dan Touch ‘n Go eWallet, serta lebih ramai rakan e-dagang dijangka menyertainya.
Lebih 145,000 PMPKS dijangka mendapat manfaat daripada latihan e-dagang, subsidi penjual dan sokongan jualan.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata peralihan digital kepada e-dagang akan membantu mengukuhkan ekonomi dalam suasana normal baharu pasca-COVID-19, dengan semakin ramai pengguna memilih membeli belah dalam talian daripada mengunjungi kedai fizikal.
“Beralih kepada e-dagang akan membantu PMPKS mengurangkan kos operasi, perniagaan menjadi lebih rancak dan lebih responsif kepada peluang baharu, yang membolehkan mereka mendapatkan pelanggan baharu dalam pasaran sedia ada dan berkembang ke pasaran baharu,” katanya.
Surina berkata dengan peningkatan jualan runcit dalam talian, pasaran e-dagang Asia Tengagra dijangka bernilai kira-kira US$153 bilion menjelang 2025.
Selain kempen e-dagang PMPKS, kerajaan juga memperuntukkan RM70 juta lagi bagi melaksanakan inisiatif Shop Malaysia Online, inisiatif e-dagang kedua di bawah PENJANA yang akan berlangsung selama dua bulan bermula Ogos tahun ini.
Inisiatif itu adalah bertujuan untuk merangsang pemulihan ekonomi dengan menggalakkan penggunaan dalam talian menerusi baucar digital bagi pelanggan.
— BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Pelbagai Sektor Telah Mula Beroperasi
Discussion about this post