ISKANDAR PUTERI – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang meneliti pelaburan dalam bidang baharu serta berteknologi tinggi untuk dibawa masuk ke dalam negara pasca-COVID-19.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pelaburan itu diyakini dapat direalisasikan berdasarkan beberapa daya tarikan yang ditawarkan Malaysia kepada para pelabur.
Beliau berkata antaranya kestabilan politik negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kewujudan kemudahan infrastruktur yang baik, penawaran beberapa insentif serta saranan nilai yang diketengahkan kepada pelabur berpotensi.
“Saranan nilai ini contohnya mengenai kecekapan kita dalam membuat keputusan yang muktamad, selain memberi kelulusan dalam tempoh yang amat pendek.
“Kalau tidak (ada elemen sedemikian), masalah (kecekapan dan kelulusan) ini akan melengahkan pelabur untuk masuk ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamed Azmin berkata beliau yakin MIDA dapat meninjau pelbagai peluang termasuk yang wujud daripada kemelut dagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan China, meskipun sekarang merupakan situasi sukar ditambah pula setiap negara giat berusaha menarik pelaburan baharu ke negara masing-masing selepas dilanda krisis COVID-19.
“Dalam aspek ini, MIDA sedang berusaha untuk memastikan syarikat dari negara yang terlibat (terkesan) dengan ini (perang AS-China) dapat memindahkan operasi mereka ke Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai hab untuk menembusi pasaran Asia Tenggara,” katanya.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – PENJANA Berpotensi Sokong Pelaburan Asing Pada Paras Tertinggi
Discussion about this post