KUALA LUMPUR – Bagi memudahkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia membeli produk, CISCO telah melancarkan satu program pembiayaan baharu dengan tawaran kadar faedah sifar.
Cisco dalam satu kenyataan, berkata selain sifar kadar faedah, PKS juga menikmati manfaat sifar peratus, tanpa kos pendahuluan, dengan syarat pembayaran bulanan tetap selama tiga tahun.
“Tawaran ini merangkumi semua portfolio produk Cisco termasuk perisian, perkakasan dan perkhidmatan,” katanya.
Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Albert Chai, berkata program pembiayaan yang ditawarkan itu akan memudahkan PKS tempatan untuk memulakan perjalanan pendigitalan.
“Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ini, kami di Cisco komited untuk memainkan peranan bagi meringankan beban PKS di Malaysia. Ketika perniagaan berusaha menyesuaikan dengan normal baharu, kami yakin sektor PKS akan terus melindungi dan menyediakan peluang pekerjaan yang dapat mengukuhkan pemulihan ekonomi Malaysia selepas COVID-19,” katanya.
Albert berkata, program pembiayaan sifar kadar faedah menawarkan PKS akses kepada sokongan teknologi Cisco yang diperlukan tanpa melebihi belanjawan.
Katanya, PKS akan menikmati pajakan pembayaran penuh selama tiga tahun dan membuat bayaran bulanan tetap selama 36 bulan untuk pembelian daripada Cisco yang bernilai antara AS$20,000 hingga AS$300,000 (RM85,600 hingga RM1.28 juta).
“Selepas tempoh kontrak tamat, PKS akan menjadi pemilik penuh peralatan berkenaan,” katanya.
Pilihan pembiayaan baharu itu kini boleh didapati menerusi Cisco Capital, iaitu perniagaan pembiayaan vendor Cisco yang menawarkan pilihan pembayaran dan sokongan yang berpaksikan pelanggan untuk menikmati pelbagai penyelesaian Cisco.
Sementara itu, Pengarah Perniagaan Kecil dan Komersial ASEAN Cisco, Raz Mohamad berkata, teknologi dapat membantu menyelesaikan beberapa cabaran utama PKS bagi memulihkan operasi pasca COVID-19.
“Justeru, PKS amat memerlukan bantuan daripada rakan kerjasama seperti Cisco, baik menerusi penyelesaian dan kepakaran kami, mahupun program yang dapat meringankan beban kewangan mereka.
“Program pembiayaan Cisco menyediakan keupayaan tersedia untuk menjamin operasi perniagaan serta pembayaran yang jelas dengan kadar faedah sifar. Malah, PKS juga dapat mengelakkan kos pendahuluan, sekali gus memelihara sumber kewangan mereka untuk keutamaan lain,” katanya.
BACA SETERUSNYA – Aplikasi Perbankan Selamat Dan Tidak Makan Data
Discussion about this post