KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan enam hari berturut-turut hari ini dengan ditutup rendah 0.65 peratus, sejajar dengan prestasi bursa serantau.
Petunjuk pasaran, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 10.18 mata untuk ditutup kepada 1,566.72 daripada 1,576.90 semasa ditutup pada Isnin.
Indeks dibuka tinggi 5.13 mata kepada 1,582.03 dan berada antara 1,562.88 dan 1,587.64 sepanjang tempoh itu.
Suasana pasaran secara keseluruhannya negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 648 berbanding 428, manakala 415 kaunter tidak berubah, 445 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 7.78 bilion saham bernilai RM4.93 bilion daripada 8.73 bilion saham bernilai RM5.07 bilion pada Isnin.
Di peringkat serantau, Bursa Saham Shanghai China naik 0.37 peratus kepada 3,345.34, Indeks Nikkei Jepun susut 0.44 peratus kepada 22,614.69, Indeks Hang Seng Hong Kong jatuh 1.38 peratus kepada 25,614.69, dan Indeks Straits Times Singapura berkurangan 1.13 peratus kepada 2,659.12.
Peniaga berkata, pasaran ekuiti China terus meningkat hari ini berikutan galakan kerajaan untuk pasaran yang lebih kukuh, manakala wilayah lain negatif walaupun dibuka tinggi selain mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang kukuh.
Pencarta Kanan Maybank Investment Bank, Nik Ihsan Raja Abdullah, berkata di peringkat tempatan, Bursa Malaysia dibuka tinggi meneruskan peningkatan semalam, tetapi merosot pada sesi pagi yang mendapat tekanan daripada pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi.
“Aktiviti pengambilan untung kebanyakannya mempengaruhi saham mewah dan saham berharga rendah manakala Pasaran ACE terus meningkat hari ini selepas naik 3.16 peratus,” katanya.
“Tekanan jualan sebahagian besarnya dilihat dalam sektor tenaga, pembinaan, perindustrian dan penjagaan kesihatan walaupun sektor penjagaan kesihatan meningkat semula daripada penurunan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dikurangkan sebanyak 25 mata asas lagi kepada 1.75 peratus, paras terendah sejak 2004.
Mengulas perkara itu, Nik Ihsan berkata pengurangan tersebut dilihat sebagai yang terakhir untuk tahun ini berikutan seluruh pasaran telah mula menyesuaikan dengan normal baharu.
“Impaknya turut dijangka diambil kira oleh pelabur berikutan saham kewangan telah meningkat sejak lima hari lalu,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan satu sen kepada RM7.82, Tenaga merosot 26 sen kepada RM11.60 dan Petronas Chemicals susut 31 sen kepada RM6.63.
Public Bank menambah enam sen kepada RM17.40 dan Hartalega meningkat 20 sen kepada RM16.70.
Daripada saham paling aktif, Iris naik tiga sen kepada 26 sen, DGB Asia dan Anzo, masing-masing meningkat setengah sen kepada 3.5 sen dan 23.5 sen, Securemetric merosot satu sen kepada 11.5 sen dan AT System tidak berubah pada 9.5 sen.
Indeks FBM Emas susut 65.54 mata kepada 11,022.45, Indeks FBMT 100 merosot 63.84 mata kepada 10,873.42 dan FBM 70 berkurangan 52.16 mata kepada 13,528.84.
Indeks FBM Emas Shariah jatuh 100.42 mata kepada 12,634.08 manakala FBM ACE melonjak 194.09 mata kepada 7,246.90.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 3.10 mata kepada 139.67 dan Indeks Perladangan merosot 42.91 mata kepada 6,823.73, bagaimanapun Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 18.87 mata kepada 13,225.59.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 4.15 bilion saham bernilai RM4.08 bilion daripada 5.55 bilion saham bernilai RM4.16 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 700.67 juta unit bernilai RM235.69 juta daripada 784.97 juta unit bernilai RM296.64 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 2.93 bilion saham bernilai RM617.06 juta daripada 2.39 bilion saham bernilai RM617.40 juta pada Isnin.
Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 861.45 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (1.11 bilion), pembinaan (241.20 juta), teknologi (444.81 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (75.96 juta), hartanah (325.83 juta), perladangan (47.66 juta), REIT (7.45 juta), dana tertutup (50,000), tenaga (488.28 juta), penjagaan kesihatan (111.57 juta), telekomunikasi dan media (138.37 juta), pengangkutan dan logistik (250.19 juta), dan utiliti (37.62 juta).
-BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Nilai Aliran Keluar Bersih Mengecil
Discussion about this post