KUALA LUMPUR – Dengan penyertaan kukuh pelabur tempatan menyebabkan kestabilan pasaran saham tempatan walaupun berdepan pengaliran keluar dana asing.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, penyertaan pelabur runcit kini adalah tinggi dan pelaburan yang dibuat adalah secara tunai berbanding hutang, sekali gus menunjukkan peralihan pelaburan pulangan rendah kembali semula ke dalam pasaran saham.
Justeru, katanya, pengendali bursa tempatan itu akan terus memberikan sokongan dalam menarik penyertaan pelabur dalam pasaran tempatan dan memantau perkembangan pasaran.
“Prestasi pasaran saham tempatan disokong oleh penyertaan kukuh pelabur institusi dan kemunculan semula pelabur runcit. Kami juga yakin pelabur asing akan kembali semula ke pasaran (pada masa depan),” katanya.
Pembabitan aktif pelabur runcit dalam pasaran saham tempatan kebelakangan ini menyaksikan jumlah dagangan harian mencecah paras rekod tertinggi dalam sejarah berjumlah 11.21 bilion unit bernilai RM4.40 bilion pada 18 Mei lalu.
Mengulas mengenai tinjauan pasaran saham tempatan pada separuh kedua 2020, Muhamad Umar berkata, ia bergantung kepada sekiranya terdapat gelombang kedua penularan COVID-19 dan perkara utama yang perlu dipantau ialah kejutan sistematik terhadap pasaran.
Beliau berkata, usaha dan langkah yang dilaksanakan kerajaan dalam menyokong ekonomi sudah menunjukkan kemajuan apabila penggunaan dilihat meningkat dan ia akan menjadi pemacu menyokong pemulihan kukuh pada masa depan.
BACA SETERUSNYA – Akhiri Kenaikan Enam Hari Berturut-Turut
Discussion about this post