KUALA LUMPUR – Kelulusan Akta Sewaan Kediaman perlu disegerakan kerajaan bagi mengurangkan konflik antara pemilik rumah dah penyewa.
Ketua Pegawai Eksekutif SPEEDHOME, Wong Whei Meng, berkata secara umumnya, Malaysia belum lagi mempunyai sebarang Akta Sewaan Kediaman yang khusus untuk pasaran sewaan dengan kebanyakannya masih bergantung kepada perjanjian sewaan untuk menunjukkan tanggungjawab dan kewajipan antara pemilik dan penyewa.
“Sekiranya terdapat perselisihan faham antara pemilik dan penyewa rumah, mereka perlu menghadapi prosedur undang-undang yang panjang.
“Kenaikan kos sewa dan deposit rumah yang tinggi juga dikenakan oleh pihak tuan rumah bagi mengelakkan penyewa merosakkan harta benda rumah sewa.
“Jadi kerajaan perlu segera meluluskan akta berkaitan bagi memastikan konflik antara kedua-dua pihak dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil daripada tinjauan yang dilakukan, Whei Meng berkata, SPEEDHOME menggariskan tiga kebimbangan utama pemilik rumah.
“Pertama, penyewa tidak membayar sewa atau kos utiliti tepat pada masa. Ini menunjukkan kebanyakan penyewa mempunyai kebiasaan menangguhkan pembayaran sewa, malahan ada menghilangkan diri selepas setelah dua bulan potongan deposit dibuat.
“Untuk menangani penyewa bermasalah seperti ini, pemilik rumah perlu mendapatkan perintah mahkamah untuk mengusir penyewa ini di mana ia agak sukar untuk dilakukan.
“Sekiranya Malaysia mempunyai institusi penghakiman bagi sewaan kediaman yang serupa dengan tribunal tuntutan pengguna, pastinya pihak pemilik rumah lebih yakin untuk menyewakan rumah berkenaan,” katanya.
Merujuk kepada kebimbangan kedua, beliau berkata, pemilik rumah bimbang harta benda kediaman dirosakkan ketika masih dalam tempoh pinjaman bank, sekali gus memerlukan mereka membeli insurans bagi melindungi harta benda.
“Ketiga, isu penyewa kerap menghubungi pemilik rumah di mana sesetengah penyewa, selagi ada masalah kecil di rumah seperti mentol lampu yang rosak, tombol pintu atau dinding rosak, penyewa akan kerap menghubungi pemiliknya untuk meminta pemilik untuk membaikinya.
“Perjanjian sewaan yang disediakan perlulah menyatakan secara jelas mengenai tanggungjawab penyewa untuk memastikan keadaan rumah sewa dalam keadaan baik ketika rumah disewakan. Sebelum berpindah keluar, penyewa seharusnya memastikan rumah di dalam keadaan yang baik.
“Namun, pemilik rumah wajib membantu penyewa sekiranya terdapat masalah besar seperti paip bocor dan lain-lain lagi pada masa akan datang,” katanya.
BACA SETERUSNYA – Pemilik Digesa Berikan Penyewa Diskaun Sewa 50%
Discussion about this post