KUALA LUMPUR – Berbanding suku pertama 2020 yang direkodkan 8.6 juta, pekerjaan di sektor swasta dilihat menurun pada 8.4 juta pada suku kedua 2020, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Perangkaan yang diterbitkan dalam Statistik Guna Tenaga, suku kedua 2020 berdasarkan Survei Guna Tenaga yang dijalankan ke atas pertubuhan swasta formal termasuk statistik permintaan buruh, merangkumi pekerjaan, jawatan yang dipenuhi, kekosongan jawatan dan pengwujudan pekerjaan mengikut kemahiran dan aktiviti ekonomi.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pada suku ini, kadar pekerjaan yang diisi jatuh 0.1 peratus berbanding dengan 97:45 peratus sebelumnya, menjadikan jumlah jawatan yang diisi kepada 8.2 juta, manakala peluang pekerjaan yang ditunjukkan melalui kekosongan jawatan adalah 170,000.
“Dengan kebanyakan aktiviti ekonomi tertangguh pada April, dan diberi kelonggaran beroperasi secara beransur-ansur sepanjang Mei dan Jun, perniagaan masih perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Kadar kekosongan turun 0.5 mata peratus dari tahun ke tahun kepada 2.0 peratus tetapi jika dibandingkan dengan suku sebelum ini, ia meningkat secara marginal sebanyak 0.1 mata peratus.
Mengikut aktiviti ekonomi, 55.1 peratus daripada kekosongan jawatan adalah dalam sektor pembuatan, terutamanya dalam pengeluaran komputer, produk elektronik dan optikal, produk getah dan plastik, produk kimia dan farmaseutikal serta produk makanan.
Walaupun permintaan buruh adalah lebih rendah, sebanyak 12 ribu pewujudan jawatan direkodkan pada suku ini, yang mana ianya kurang separuh daripada purata pewujudan jawatan suku tahunan pada tahun lepas.
Menurut Mohd Uzir lagi, komuniti perniagaan di Malaysia majoritinya adalah perusahaan kecil dan sederhana. Pakej rangsangan yang diperkenalkan secara berperingkat sejak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan membantu perniagaan ketika melalui fasa pemulihan ini
Dengan adaptasi normal baharu, perniagaan mula mengatur strategi bagi menangani permintaan pengguna yang berubah, dan seterusnya menyebabkan perubahan keperluan bentuk kemahiran pekerja.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Pakej Rangsangan Berjaya Selamatkan 2.75 Juta Pekerjaan
Discussion about this post