Setiap orang pasti mempunyai hutang masing-masing tidak kira hutang dengan bank, kawan mahu pun majikan pasti ada hutang.
Hutang dapat dilangsaikan jika kita terus berdisiplin dalam membayar hutang-hutang tersebut. Tetapi kebanyakan orang pasti menggaru kepala sendiri apabila melihat hutang tidak berkurang malah makin bertambah.
Pasti ada kesilapan yang dilakukan oleh diri kita. Kalau tiada, mana mungkin hutang makin bertambah.
Disini ada beberapa kesilapan yang sering kita lakukan sama ada tanpa sedar atau dalam sedar dalam menangani hutang sehingga hutang makin bertambah.
Jom kita lihat, mungkin ada antara kesilapan ini anda lakukan tanpa sedar.
1 Kad Kredit Masih Menjadi Teman Karib Anda
Bagi yang tidak mempunyai kad kredit, anda boleh langkau ke point seterusnya, kerana kesilapan ini khas untuk mereka yang mempunyai kad kredit dan masih menggunakan kad kredit.
Ini kesilapan yang sering dilakukan kebanyakan orang sekarang, dan menjadikan kad kredit sebagai rakan karib di mana-mana sahaja.
Jika anda sedar anda mempunyai hutang kad kredit, anda pasti akan mengelak untuk menggunakan kad kredit dan gunakan tunai atau e-wallet ketika berbelanja.
Jika anda mahu menggunakan kad kredit, pastikan hutang kad kredit lama dilangsaikan dahulu sebelum menggunakan kad kredit, lagi lambat anda selesaikan, lagi banyak hutang kad kredit anda.
Tinggal sahaja kad kredit di rumah anda, jangan gunakan dahulu.
2 Simpanan Kecemasan Tidak Menjadi Satu Keutamaan
Kesilapan ini antara kesilapan yang sering orang lakukan terutama sekali anak-anak muda yang sudah bekerja.
Jika anda mempunyai kenderaan, anda kena sentiasa ingat bila-bila masa sahaja kenderaan anda akan mempunyai masalah, sama seperti telefon pintar atau computer anda yang anda perlu gunakan dalam kerja harian anda atau apa-apa sahaja barang anda, anda kena sentiasa ingat, satu hari nanti pasti akan ada masalah.
Jadi, simpanan kecemasan sangat penting apabila terjadi perkara-perkara yang disebutkan. Jika anda mempunyai kad kredit, hutang anda akan bertambah, jika tiada? Lagi banyak benda nak difikirkan.
Jadi simpan sedikit gaji anda dalam tempoh tiga hingga enam bulan, walaupun hanya RM50, janji anda sudah mula menyimpan untuk kegunaan semasa kecemasan.
3 Pendapatan Anda Masih Kat Tahap Yang Rendah
Masuk awal bulan, pasti banyak perkara yang perlu diselesaikan dan perlu dibeli seperti keperluan asas dan bil utiliti.
Bagi yang mempunyai kad kredit pasti ansa menggunakan kad kredit kerana tidak cukup tunai dan bagi yang tidak mempunyai kad kredit, anda pastinya akan potong bajet anda dengan membayar separuh dan bayar selebihnya pada bulan hadapan bukan?
Kalau ini selalu berlaku, anda akan berada dalam keadaan berhutang untuk satu jangka masa yang lama. Kad kredit adalah satu kaedah yang sangat mahal untuk kita pinjam duit dan hutang anda akan bertambah dari bulan ke bulan.
Dan anda boleh ubah masalah ni dengan meningkatkan sumber pendapatan anda. Anda boleh cari kerja sambilan, sewakan bilik kosong yang ada, dan lain-lain untuk tambah pendapatan bulanan.
4 Terpengaruh Dengan Hasutan Rakan
Tekanan daripada orang sekeliling juga antara punca ramai orang jadi tak berduit.
Orang lagi sanggup bayar bil kad kredit (yang mahal) daripada akui mereka tak mampu nak beli makanan, tiket konsert, insuran kereta, dan sebagainya. Kalau tak ada duit, swipe saja. Kan lebih mudah?
Hakikatnya, ia tak berikan sebarang manfaat pun diri kita. Dan kawan-kawan jenis macam ni, tak akan membantu korang selesaikan hutang yang ada. Silap-silap, bertambah parah situasi korang tu.
Orang lain tak ada hak nak tentukan cara anda belanjakan duit sendiri. Ia adalah 100% hak anda. Jadi, jangan ambil kisah kata-kata negatif mereka.
Impian anda juga boleh menjadi pendorong terbaik untuk keluar daripada belenggu hutang. Ada orang pasang niat nak langsaikan semua hutang sebelum berumur 35 tahun, anda juga boleh pasang impian murni yang sama.
5 Suka Bayar Baki Hutang Secara Minimum
Jika anda mahu tahu, bank sangat suka peminjam bayar baki hutang secara minimum. Semakin lama masa yang korang ambil nak langsaikan hutang, lebih banyak faedah yang korang kena bayar.
Walaupun anda hanya mampu bayar lebih RM50 saja, tutup mata dan bayar saja lebih daripada jumlah minimum. Walaupun sikit, ia masih dapat membantu.
Sebagai contoh, katakan anda mempunyai baki kad kredit sebanyak RM5,000 dengan kadar faedah tahunan 12%.
Kalau bayar minimum RM100 sebulan, anda akan ambil masa selama 70 bulan untuk langsai, dan bayaran tambahan RM1, 996 untuk faedah!
Lain pula kalau jika anda bayar RM120 sebulan. Anda dapat langsaikan hutang ini dalam tempoh 50 bulan dan bayar RM1, 500 saja untuk faedah. Jadi, mana satu pilihan anda?
6 Tak Langsaikan Hutang Yang “Perlu” Dahulu
Menurut survei Gallup (syarikat penyelidikan USA), 33% orang Amerika mempunyai 1 atau 2, 18% lagi ada 3 hingga 4, dan sekitar 7% memiliki lebih daripada 7 kad kredit.
Bayangkan. Kalau setiap kad kredit ada hutang, yang mana satu jadi prioriti untuk kita langsaikan dulu?
Terdapat 2 school of thought untuk langsaikan hutang dengan cepat:
1) Bayar dulu pinjaman dengan kadar faedah tertinggi (kaedah Avalanche), atau
2) Bayar pinjaman dengan baki hutang terendah (kaedah Debt Snowball).
Dua kaedah ini boleh membantu anda langsaikan hutang. Gunakan mana-mana yang sesuai dan terbaik mengikut situasi kewangan masing-masing.
7 Gagal Buat Pelan Kewangan Yang Baik
Hanya 1 daripada setiap 3 rakyat Amerika buat bajet yang baik. Bermakna, majoriti orang kat sana tak ambil kisah pasal pergerakan wang mereka.
Susah nak buat keputusan kewangan yang baik, kalau tak ada sebarang rekod perbelanjaan yang kita buat.
Orang yang berjaya selesaikan hutang kad kredit adalah mereka yang membayar lebih daripada sepatutnya. Setiap duit lebihan yang ada, akan digunakan untuk langsaikan hutang supaya ia settle secepat mungkin.
Dengan wujudkan bajet, kita boleh nampak baki duit yang ada dengan jelas. Serta dapat menilai balik perbelanjaan dan kenal pasti cara kita berbelanja setiap bulan.
Ini adalah strategi yang kritikal dalam usaha melangsaikan hutang yang ada. Kalau anda tak pernah buat bajet sebelum ini, tak usah risau. Ia lebih mudah berbanding dengan apa yang korang jangkakan.
Ini merupakan beberapa kesilapan yang mungkin anda tidak sedar melakukannya dalam menangani hutang-hutang anda.
Hutang boleh jadi beban yang buatkan hidup seseorang itu tertekan.
Jika anda masih mempunyai hutang, langsaikan mana yang ada dulu, baru boleh mula berbelanja macam biasa.
Susah bagi anda mahu menyimpan duit untuk melakukan pelbagai perkara penting jika anda masih tidak habis membayar hutang.
Apa-apa pun, masalah ini tidak mustahil untuk kita selesaikan. Sentiasa cari ilmu yang dapa membantu anda selesaikan masalah ini dengan cepat.
BACA SETERUSNYA – Kedudukan Hutang Negara Negara Cecah RM1.264 Trilion Hujung Tahun
Discussion about this post