KUALA LUMPUR – Sistem perbankan di negara ini dijangka berada dalam kedudukan yang baik didorong oleh penampan yang kukuh untuk menyokong aliran kredit kepada sektor benar dengan ekonomi pulih secara beransur-ansur, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2020, bank pusat berkata, pinjaman sistem perbankan mencatatkan pertumbuhan tahunan 4.1 peratus setakat Jun 2020, dipacu oleh pertumbuhan baki pinjaman perniagaan dalam dagangan borong dan runcit, hotel dan restoran serta sektor perkhidmatan.
“Berikutan pelonggaran beransur-ansur Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), agihan yang tinggi bagi keperluan modal kerja dicatatkan pada Jun.
“Terdapat permintaan kukuh bagi pinjaman di bawah Kemudahan Bantuan Khas (SRF) serta dana sasaran lain bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ditubuhkan BNM,” katanya.
BNM berkata, keadaan kewangan terus disokong oleh kos pinjaman rendah berikutan pelonggaran dasar monetari.
Permintaan untuk pembiayaan oleh isi rumah secara umumnya pula, katanya, adalah lemah dicerminkan oleh prospek pendapatan dan pekerjaan yang lebih tidak menentu.
“Bank jangka sedikit pemulihan dalam pertumbuhan isi rumah pada separuh kedua 2020 di tengah-tengah kos pinjaman rendah dan pemulihan keadaan pasaran pekerjaan,” katanya.
BNM berkata, kedudukan kecairan bank kekal sihat meskipun penangguhan pembayaran balik pinjaman runcit hampir kepada 90 peratus di bawah moratorium automatik.
Ia, katanya disokong oleh penampan awal bank yang kukuh dan pertumbuhan deposit yang tinggi susulan pegangan tunai secara berhati-hati, terutama dalam kalangan pendeposit individu pada suku kedua.
Bank pusat berkata, risiko pendedahan hutang luaran bank juga terus terurus berikutan kebergantungan mereka yang rendah terhadap dana luaran yang kekal stabil secara meluas di bawah 10 peratus daripada jumlah pembiayaan beberapa tahun lalu.
Katanya, sebahagian besar peningkatan dalam hutang luar bank sebanyak RM22.9 bilion pada separuh pertama 2020 berikutan peningkatan pinjaman antara kumpulan oleh bank asing di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (LIBFC).
BACA SETERUSNYA – BNM Perlu Ambil Bahagian Pembelian Bon Jika Perlu
Discussion about this post