KUALA LUMPUR – Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan komuniti perniagaan antarabangsa meskipun persekitaran ekonomi global mencabar, dengan Johor muncul sebagai antara penerima utama pelaburan terbabit.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Ahmad Khairuddin Abdul Rahim, berkata sehingga Disember 2019, terdapat 4,764 projek pembuatan dilaksanakan di Johor dengan pelaburan bernilai RM166 bilion.
“Lebih separuh daripada pelaburan ini bernilai RM88.4 bilion adalah daripada sumber asing.
“Projek ini adalah instrumen dalam mewujudkan lebih 502,700 pekerjaan, terutama dalam bidang produk petroleum termasuk petrokimia; elektrik dan elektronik; pembuatan makanan; produk logam asas; kimia serta produk kimia,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Khairuddin berkata, pada separuh pertama 2020, Johor sekali lagi menjadi antara negeri teratas tumpuan pelaburan, merekodkan 89 projek pembuatan dengan nilai pelaburan keseluruhan yang diluluskan tertinggi iaitu RM3.6 bilion.
“Kita gembira apabila menyaksikan syarikat-syarikat ternama memanfaatkan infrastruktur Johor yang baik serta rangkaian infrastruktur perkhidmatan sokongan berpengalaman,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pandemik COVID-19 memaksa perniagaan, sama ada kecil atau besar untuk memikirkan semula model perniagaan masing-masing.
Bagaimanapun, katanya norma baharu juga memberi peluang kepada perniagaan untuk mencari pendekatan inovatif bagi mengutamakan kecekapan pengoperasian di samping membangunkan daya tahan menerusi langkah memanfaatkan teknologi digital yang berkesan secara strategik.
“Justeru, kami menggesa syarikat tempatan untuk melabur dalam mempertingkat keupayaan masing-masing selain menerima guna automasi dan digitalisasi,” katanya.
Ahmad Khairuddin berkata, MIDA telah memperkenalkan insiatif ‘Lighthouse’, konsep pemodelan syarikat multinasional global (MNC) yang menerima guna pembuatan digital serta globalisasi 4.0 dalam model perniagaan dan keseluruhan rantaian bekalan mereka.
“Kami berharap lebih banyak syarikat tempatan akan disepadukan kepada operasi ‘lighthouse’ seperti itu dan muncul sebagai pembekal yang dipercayai oleh rangkaian rantaian bekalan MNC,” katanya.
Beliau berkata, tidak dinafikan Malaysia memiliki gabungan kelebihan kompetitif yang tepat untuk menjadi hab rantaian bekalan global.
-BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Teroka Pilihan Baru Bagi Tingkatkan Hasil Pendapatan
Discussion about this post