SINGAPURA – Pemilihan pekerja yang akan diberhentikan di Singapura perlu dibuat berdasarkan kriteria objektif dengan pertimbangan utama diberikan kepada merit pekerja dan mengekalkan kemahiran untuk memastikan kelangsungan perniagaan.
Majikan juga seharusnya menilai keperluan tenaga kerja bagi jangka panjang, termasuk keperluan untuk mengekalkan teras Singapura yang kukuh.
Pemberhentian pekerja pada umumnya tidak perlu mengakibatkan perkadaran pekerja tempatan dikurangkan dan ini dapat dicapai dengan mengekalkan kadar lebih ramai pekerja tempatan apabila langkah pemberhentian itu diambil.
Ini berdasarkan nasihat terkini oleh Rakan Tiga Pihak mengenai Pengurusan Tenaga Kerja Lebihan dan Pemberhentian Bertanggungjawab dengan Prinsip Utama berkaitan Pemberhentian Kerja Yang Adil yang dikeluarkan.
Rakan Tiga Pihak ini ialah Kementerian Tenaga Kerja, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF).
Nasihat yang dikemaskinikan itu bertujuan menyediakan garis panduan yang lebih jelas kepada para majikan untuk melaksanakan pemberhentian kerja secara bertanggungjawab, jika tindakan itu tidak dapat dielakkan, kata Rakan Tiga Pihak tersebut.
“Walaupun tujuan kita memperkukuhkan teras Singapura, namun Singapura kekal terbuka dan mengalu-alukan pihak asing yang dapat membantu mengembangkan ekonomi negara ini dan mewujudkan pekerjaan yang baik untuk penduduk tempatan.
“Pekerja tempatan digalakkan mempelajari kemampuan baharu daripada pekerja asing yang memiliki kemahiran khusus,” menurut mereka.
Ketiga-tiga pihak itu berkata syarikat juga perlu sentiasa berusaha agar kemahiran khusus atau kemahiran penting perniagaan pekerja asing dapat dipindahkan kepada pekerja tempatan dalam jangka panjang.
Kali terakhir Rakan Tiga Pihak mengemaskinikan nasihat itu adalah pada Mac 2020, susulan situasi pandemik COVID-19 yang semakin buruk dan menjejaskan perniagaan.
Memandangkan pemberhentian pekerja mungkin masih tidak dapat dielakkan bagi beberapa majikan walaupun banyak skim sokongan telah diperkenalkan kerajaan Singapura, nasihat tersebut telah diperkemaskan lagi untuk menekankan hasil yang diinginkan dalam setiap langkah pemberhentian kerja, katanya.
Gerakan tiga pihak di Singapura merujuk kerjasama antara kesatuan, majikan dan kerajaan.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Pekerjaan Di Sektor Swasta Menurun Pada Suku Kedua 2020
Discussion about this post