KUALA LUMPUR – Menurut seorang penganalisis, proses pemulihan ekonomi akan menjadi lebih sukar dan boleh merugikan jika kemudahan lanjutan penangguhan bayaran balik atau moratorium secara automatic dilaksakan semula.
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ini berikutan proses memulihkan ekonomi negara itu sememangnya memerlukan suntikan dana, termasuk daripada institusi perbankan.
Malah, beliau menegaskan, jika pihak bank gagal menyalurkan dana kepada sektor perniagaan dan isi rumah pada kadar dan tempoh yang tepat, juga boleh menjejaskan proses pemulihan ekonomi terbabit.
“Perkara seperti ini sudah tentu akan menjejaskan keyakinan para peniaga, pelabur dan masyarakat yang mana akhirnya akan merugikan semua pihak.
“Ini kerana hakikatnya, institusi perbankan ini adalah nadi atau jantung dalam (menggerakkan) satu-satu ekonomi itu,” kata dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd Afzanizam, pelaksanaan moratorium automatik secara berterusan juga dikhuatiri menyebabkan pihak bank sukar menyalurkan pembiayaan dengan lancar berikutan tahap kecairan atau mudah tunai rendah serta penyusutan modal selain boleh mengurangkan kutipan hasil jika dilaksanakan dalam tempoh yang lama.
“Aspek seperti modal yang mencukupi serta tahap kecairan tinggi adalah perkara pokok untuk institusi perbankan menjalankan perniagaannya.
“Dua perkara inilah yang membolehkan pihak bank untuk terus memberi pembiayaan kepada isi rumah dan para peniaga yang sekali gus dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara,” katanya.
Menurut laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan — Separuh Pertama 2020 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini, peratusan isi rumah yang memilih untuk meneruskan moratorium automatik susut daripada 86.9 peratus pada April kepada 85.5 peratus pada Mei dan seterusnya 84.4 peratus pada Jun lepas.
Mohd Afzanizam berkata, data terkini pula menunjukkan ramai peminjam juga telah memilih untuk membayar balik hutang meskipun tempoh moratorium belum berakhir.
“Ini jelas menunjukkan bahawa tidak semua rakyat memerlukan moratorium kerana ada yang tidak terjejas dari sudut ekonomi berikutan penularan COVID-19,” katanya.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Singapura Umumkan Lanjutan Bantuan Moratorium
Discussion about this post