KUALA LUMPUR – Unit JF Technology Bhd (JF Tech), JF International Sdn Bhd memeterai perjanjian peningkatan modal dan pemegang saham dengan Hubble Technology Investment Co Ltd (HTI), dan JFH Technology (Kunshan) Co Ltd.(JFH Technology) untuk JF Tech memperoleh akses pasaran ke China dalam membangunkan rangkaian 5G dan 6G.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, JF Tech berkata kerjasama perniagaan yang dicadangkan itu membolehkan JF Group menubuhkan perkongsian perniagaan sinergi jangka panjang dengan HTI, anak syarikat milik penuh Huawei Investment & Holding Co Ltd.
Di bawah perjanjian itu, JFH Technology akan membekalkan kontaktor ujian prestasi tinggi kepada HTI dan pelanggan lain di China.
“Menerusi peluang JFH Technology bekerjasama rapat dengan HTI bagi membangunkan teknologi pengesanan ujian baharu untuk rangkaian 5G dan rangkaian 6G serta pada masa depan, akan ada pindahan pengetahuan teknologi dari JF Group ke JFH Technology.
“Ini akan membolehkan JFH Technology meningkatkan rantaian nilai industri semikonduktor di samping membangunkan tenaga kerja tempatan di kalangan rakyat Malaysia,” kata syarikat itu.
JF International akan melanggan modal US$500,000 dalam JFH Technology dengan cara tunai melalui dana yang dijana secara dalaman.
“Selaras dengan Perjanjian Peningkatan Modal, HTI akan menyumbang AS$1.5 juta atau bersamaan RMB secara tunai kepada JFH Technology, yang mana RMB yang bersamaan dengan AS$410,000 akan dikreditkan ke modal berdaftar JFH Technology.
“Baki RMB yang bersamaan dengan AS$1.09 juta akan dikreditkan ke rizab modal JFH Technology,” kata syarikat itu.
Setelah perjanjian it selesai, modal berdaftar JFH Technology akan meningkat daripada US$500,000 kepada AS$910,000.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – AS Ketatkan Lagi Sekatan Terhadap Syarikat Teknologi
Discussion about this post