KUALA LUMPUR – Unjuran peningkatan gaji purata di Malaysia sebanyak 4.5 peratus pada tahun hadapan dijangka hanya dinikmati pekerja yang terbabit dalam sektor pembuatan, penjagaan kesihatan dan peladangan.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata ini kerana hanya sektor berkaitan yang memiliki perniagaan yang kekal berdaya saing di tengah-tengah krisis kesihatan akibat COVID-19 mampu berbuat demikian meskipun kadar kenaikan yang diunjurkan itu lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.
“MEF hanya melihat syarikat yang terbabit dalam sektor pembuatan terutama menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE), pengeluar sarung tangan getah dan perladangan memiliki keupayaan untuk menawarkan kenaikan gaji kepada pekerja.
“Bagi syarikat lain, sukar untuk mereka menawarkan kenaikan (gaji) memandangkan persekitaran ekonomi dan perniagaan kekal mencabar ketika ini akibat COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Kelmarin, Mercer menerusi Tinjauan Jumlah Imbuhan (TRS) mendedahkan gaji purata pekerja di Malaysia diunjurkan meningkat 4.5 peratus pada tahun hadapan.
Firma perunding kekayaan dan kerjaya itu berkata, jumlah itu bagaimanapun berkurang daripada kadar lima peratus yang diramalkan pada separuh pertama tahun ini.
Jangkaan kenaikan gaji ini didukung oleh unjuran ekonomi Malaysia yang lemah dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka menguncup antara 3.5 hingga 5.5 peratus tahun ini dan tekanan berterusan terhadap perniagaan untuk memastikan pengurangan kos di tengah ketidaktentuan yang disebabkan COVID-19.
Menerusi tinjauan itu, Mercer turut mendedahkan sekitar 14 peratus syarikat meramalkan pembekuan kenaikan gaji.
Laporan TRS membabitkan 529 syarikat yang dibuat secara tahunan dan dijalankan antara April hingga Jun tahun ini.
Menurut laporan Mercer, ia juga mendapati gaji di Malaysia secara purata meningkat 4.7 peratus tahun ini di sebalik cabaran yang dicetuskan oleh COVID-19.
Namun, hampir dua daripada 10 syarikat melaporkan sudah membekukan kenaikan gaji.
Mengulas lanjut, Shamsuddin menjelaskan, MEF melihat syarikat yang tidak memiliki kemampuan menaikkan gaji pekerja, sebaliknya mungkin mengambil langkah pemotongan gaji bagi memastikan pekerja kekal bekerja dan meneruskan kelangsungan operasi syarikat.
“Apa yang lebih membimbangkan adalah kira-kira 16,000 syarikat telah memberhentikan operasi. Individu yang jatuh muflis juga adalah sekitar 1,000 orang setiap hari,” dedah Shamsuddin.
BACA SETERUSNYA – Pekerja Bakal Nikmati 4.5 Peratus Kenaikan Gaji Purata
Discussion about this post