KUALA LUMPUR: Malaysia berada di tangga keempat dalam kalangan 17 ekonomi dalam senarai yang membandingkan daya saing ekonomi itu sebagai hab pembuatan dari segi kos menjalankan perniagaan (CoDB), menurut kajian oleh KPMG.
Kajian itu juga mendapati Malaysia mendahului negara-negara di rantau Asia seperti China, Jepun, Vietnam dan India.
Rakan kongsi pengurusan KPMG Malaysia, Datuk Johan Idris, berkata kajian itu menunjukkan Indeks CoDB Malaysia menghasilkan skor tertinggi pada Indeks Kos Utama yang mana Malaysia berada di bahagian teratas carta, seiring dengan China, Mexico dan Vietnam.
“Tiga faktor utama telah menjadikan negara ini cemerlang iaitu kos pemampasan setiap jam, kos hartanah dan kadar cukai korporat,” katanya dalam taklimat media secara maya bersama-sama dengan InvestKL, hari ini.
Kajian itu selanjutnya, dengan mengubah beban kos utama serta kos sekunder daripada saksama kepada 70 peratus:30 peratus menyaksikan Malaysia berada di kedudukan pertama sebagai lokasi paling kos efektif dalam Indeks CoDB.
“Malaysia terus menjadi hab pembuatan utama bagi pelabur walaupun berlaku ketidaktentuan dalam landskap semasa. Ini amat signifikan dalam realiti sekarang ini, yang mana kestabilan operasi serta pembendungan kos menjadi keutamaan dalam kelangsungan perniagaan jangka panjang bagi setiap perusahaan.
“Hasil kajian ini membuktikan apa yang sudah diketahui oleh perniagaan Malaysia dan kelebihan yang mereka miliki,” katanya.
Menurut Johan, akibat daripada pandemik COVID-19, syarikat-syarikat di seluruh dunia sedang mengkaji semula rantaian bekalan mereka.
“Satu kajian oleh McKinsey menganggarkan bahawa 16 peratus hingga 26 peratus daripada eksport global yang bernilai AS$2.9 trilion sehingga AS$4.6 trilion, boleh berpindah ke negara-negara baharu dalam tempoh lima tahun akan datang jika syarikat ini merombak rangkaian pembekal mereka,” katanya.
Beliau turut menekankan kajian oleh KPMG membuktikan Malaysia mempunyai faktor untuk menggerakkan rantaian nilai pengeluaran.
“Malaysia mampu mengekal daya saing serta menjadi destinasi pilihan bagi pelaburan bernilai tinggi selepas ia bertindak membina kemampanan dan membangunkan ketahanan.
“Hasil kajian yang memberangsangkan ini menyokong tumpuan kerajaan untuk memulihkan iklim pelaburan Malaysia,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Muhammad Azmi Zulkifli berkata Malaysia menawarkan ekosistem yang berkembang maju bagi syarikat yang ingin memindahkan operasi mereka.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai turut mempunyai kelebihan lain seperti pentadbiran kerajaan pro-perniagaan yang telah mendorong memajukan komuniti perniagaan termasuk menjadikan sewa pejabat lebih murah.
-BERNAMA
Baca Seterusnya – Sudah Tiba Masa Negara Fokus Masa Depan Pekerjaan
Discussion about this post