KUALA LUMPUR – Penularan pandemik COVID-19 terbukti menjejaskan pelancaran rangkaian mudah alih generasi kelima (5G) walaupun pihak pengendali dijangka melabur kira-kira AS$1 trilion (AS$1=RM4.14) di serata dunia bagi tempoh lima tahun akan datang, kata Persatuan GSM (GSMA).
Ketua Pengarahnya, Mats Granryd berkata 80 peratus daripada pelaburan tersebut diperuntukkan kepada pihak pengupaya rangkaian 5G atau syarikat yang menawarkan aspek prasarana atau perkhidmatan berkaitan.
“Pelancaran rangkaian 5G itu memerlukan pelaburan selain aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang serius,” katanya dalam satu kenyataan.
GSMA yang mewakili kepentingan pengendali mudah alih di serata dunia, turut bertindak menyemak semula unjuran awalnya dengan menyasarkan jumlah sambungan 5G itu susut hampir 20 peratus di negara-negara Asia Pasifik pada 2020.
Laporan Ekonomi Mudah Alih Asia Pasifik GSMA 2020 juga menunjukkan sejumlah 106 pelancaran rangkaian 5G dapat dilaksanakan di peringkat global, termasuk 35 rangkaian tanpa wayar tetap yang didorong oleh keperluan bekerja atau beroperasi dari rumah susulan COVID-19.
Penularan pandemik itu juga dijangka memberi impak terhadap pelaksanaan 5G dari segi tawaran dan permintaan ekonomi.
Dari segi lokasi, impak COVID-19 terhadap pertumbuhan 5G adalah ketara di Asia Pasifik berbanding rantau lain yang masih belum melancarkan teknologi tersebut, kata laporan itu.
Malaysia sebaliknya akan menyaksikan pertumbuhan 5G yang pesat berikutan usaha negara ini untuk muncul sebagai peneraju teknologi berkenaan.
Granryd berkata lebih 200 peranti 5G juga telah dilancarkan dengan kalangan pengendali mudah alih serta pemimpin industri menyifatkan teknologi tersebut dapat memudahkan inovasi secara lebih pantas selain memenuhi permintaan baharu.
Menurutnya, jumlah pelanggan mudah alih di peringkat global juga diunjur berkembang sebanyak 20 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ini termasuk beberapa negara maju yang menerajui usaha itu seperti Amerika Syarikat dengan kadar penerimaan atau pelaksanaannya sebanyak 50 peratus manakala Jepun dan Korea Selatan melebihi 50 peratus.
“China yang mempunyai jumlah penduduk ramai, adalah negara tunggal 5G terbesar walaupun kadar penembusannya adalah kira-kira 30 peratus,” katanya.
Beliau berkata GSMA bagaimanapun menyasarkan jumlah pengambilan mudah alih secara keseluruhannya pada 2020 dan 2021 akan berkurangan susulan pandemik itu.
Ini disukarkan lagi oleh faktor tekanan pendapatan, sekatan rantaian bekalan serta penutupan premis runcit yang menjejaskan lagi industri mudah alih.
“Bagi mengatasi isu itu, spektrum masa depan serta dasar membabitkannya perlu diutamakan dengan kalangan pengawalselia wajar mengenakan harga lebih berpatutan untuk pengendali mudah alih,” katanya.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Aktiviti Ekonomi Negara Perlu Disusun Semula
Discussion about this post