KUALA TERENGGANU – Usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disaran meneliti semula perancangan kewangan syarikat bagi memastikan perniagaan bukan sahaja terus bertahan tetapi juga mampu berkembang.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT) Dr Tengku Khairi A. Rahman berkata antara cara terbaik ialah dengan memanfaatkan moratorium selama tiga bulan atau pengurangan 50 peratus ansuran bulanan selama enam bulan.
“Usahawan perlu mengatur dan mengurus perancangan kewangan perniagaan dengan sebaik-baiknya. Jika tidak tahu caranya, dapatkan bimbingan dan ilmu daripada mereka yang sememangnya mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk membantu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, keperihatinan kerajaan dalam membenarkan lanjutan moratorium meskipun dalam bentuk penangguhan, pengurangan dan penjadualan semula pinjaman adalah suatu peluang yang membolehkan usahawan ‘bernafas’.
Tambah Tengku Khairi, bagi mendepani cabaran akibat COVID-19, pihaknya juga mempunyai pelbagai perancangan untuk membantu, terutama pada tahun hadapan bagi meningkatkan perniagaan dan keupayaan usahawan mikro dan PKS di negeri itu.
“Usahawan perlu mengikuti latihan dan bimbangan keusahawanan sama ada secara fizikal atau secara dalam talian. Usaha ini boleh dilakukan dengan kolaborasi antara agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan,” katanya.
Selain itu, bagi memastikan kelangsungan perniagaan, beliau turut mencadangkan usahawan melakukan semakan kos operasi, penstrukturan semula serta membuat ramalan tentang aliran tunai pada masa depan.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Bantu PKS Melalui Platform e-Dagang
Discussion about this post