BANGKOK – Perdagangan sempadan antara Thailand dan Malaysia bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini susut 14.67 peratus kepada 198.65 bilion baht (100 baht=RM13.52) apabila penutupan sempadan yang bertujuan membendung penularan pandemik COVID-19 telah menjejaskan aktiviti perdagangan antara negara-negara jirannya.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perdagangan Luar Thailand, Keerati Rushchano, perdagangan rentas sempadan antara negara itu dengan negara-negara jiran – Malaysia, Myanmar, Laos dan Kemboja – dari Januari hingga Oktober tahun ini berjumlah 623.22 bilion baht, turun 9.87 peratus tahun ke tahun.
Eksport Thailand ke empat negara jiran itu merosot 8.94 peratus kepada 365.25 bilion baht manakala import jatuh 11.55 peratus kepada 258.44 bilion baht dalam tempoh tersebut.
“Malaysia merupakan rakan dagangan sempadan terbesar Thailand. Eksport ke Malaysia turun 8.33 peratus kepada 97.54 bilion baht manakala import susut 20.21 peratus kepada 101.11 bilion baht, yang membawa kepada defisit perdagangan 3.57 bilion baht,” katanya dalam satu kenyataan.
Keerati berkata perdagangan rentas sempadan Thailand termasuklah perdagangan transit yang berjumlah 1.08 trilion baht, susut 4.11 peratus dalam tempoh 10 bulan pertama.
Menurutnya, nilai eksport turun 4.32 peratus kepada 626.40 bilion baht manakala nilai import susut 3.81 peratus kepada 455.18 bilion baht, yang membawa kepada lebihan perdagangan sebanyak 171.22 bilion baht.
Sementara itu, Keerati berkata perdagangan transit Thailand dengan Singapura, Vietnam dan selatan China meningkat 5.04 peratus kepada 457.91 bilion baht dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Perdagangan Malaysia-China Meningkat
Discussion about this post