KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari kedua berturut-turut berikutan pelabur gembira dengan gelombang vaksin dan rangsangan hingga akhir tahun, disokong oleh jangkaan maklum balas Rizab Persekutuan AS (Fed) yang tidak mengambil tindakan tegas pada akhir mesyuaratnya.
Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.0490/0540 berbanding dolar AS daripada 4.0530/0560 semasa ditutup pada Selasa.
Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata risiko terhadap dolar AS yang lebih lama daripada biasa hingga mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akhir tahun boleh menjadi negatif, dan dolar akan menjadi kurang menarik menjelang mesyuarat malam ini.
Pasaran pesimis terhadap keputusan daripada FOMC, manakala pasaran bon dijangka menerima reaksi yang tidak menentu bergantung kepada pandangan bank pusat itu mengenai program belian bonnya.
Fed akan mengeluarkan kenyataan pada 2 petang, dan Pengerusi Fed Jerome Powell akan mengadakan taklimat pada 2.30 petang (waktu Timur AS).
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding semua mata wang utama lain.
Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0469/0518 daripada 3.0369/0396 semasa ditutup semalam dan susut berbanding pound kepada 5.4722/4806 daripada 5.3966/4026 pada Selasa.
Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.9418/9487 daripada 4.9272/9321 semalam, dan berkurangan berbanding yen kepada 3.9197/9253 daripada 3.8949/8989 sebelumnya.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Malaysia Berpotensi Menjadi Pemimpin Teknologi Kewangan Islam
Discussion about this post