KUALA LUMPUR – Resorts World Genting (RWG) tidak terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikenakan di dua kediaman di situ dan kekal dibuka untuk kunjungan awam.
Syarikat itu dalam satu notis berkata, pihaknya merujuk kepada lanjutan PKPD yang dikenakan di Apartmen Amber Court dan Ria sehingga 6 Januari ini.
“Kami mahu menjelaskan bahawa RWG tidak termasuk dalam kawasan yang terjejas dan operasi kami masih kekal dibuka seperti biasa.
“Kes COVID-19 pertama yang dilaporkan membabitkan pekerja RWG ialah pada 24 November lalu. Semua kontak rapat kes ini selesai mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan, menjalani kuarantin dan ujian sebelum kembali bekerja.
“Protokol keselamatan kami adalah amat ketat dan kami menyediakan persekitaran yang selamat untuk tetamu dan pekerja,” katanya.
Tambahnya, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memastikan keselamatan resort ini, RWG mengkehendaki semua pekerjanya, termasuk pekerja pihak ketiga dan kontraktor untuk menjalani pemeriksaan dan ujian yang ketat untuk COVID-19 secara berkala.
“Protokol ujian RWG merangkumi ujian antibodi dan yang terbaharu, antigen terhadap pekerja (termasuk pekerja pihak ketiga dan kontraktor) secara berkala.
“Program saringan dan ujian ini adalah sebagai tambahan selain daripada pematuhan penuh dengan prosedur standard operasi (SOP) yang diarahkan oleh kerajaan,” katanya.
BACA SETERUSNYA –Pusat Peranginan Tawarkan Pakej Percutian Pasca COVID-19
Discussion about this post