KOTA KINABALU – Usahawan Sabah digesa menambah baik kualiti pembungkusan produk masing-masing bagi meningkatkan imej produk dan seterusnya berupaya memacu jualan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Menurutnya, ini termasuk mengambil kira kepentingan memelihara kualiti mengikut kesesuaian produk dan jenis pembungkusan selain menepati keinginan pelanggan.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata reka bentuk bungkusan yang menarik dan mengikut trend terkini juga terbukti menjadi produk laris manakala produk yang berkualiti turut menjadi imej barangan serta syarikat yang menghasilkannya.
“Terdapat banyak perkara yang perlu diambil kira dalam menghasilkan reka bentuk bungkusan yang sempurna.
“Bagaimanapun ia tidak berhasil jika hanya cantik pada reka bentuk tetapi dari segi pemilihan bahan untuk melindungi (atau pembungkusan) produk tidak pula dititik beratkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Joachim berkata program TRUS-MID itu menyaksikan para peserta dibantu menaik taraf kualiti pembungkusan produk masing-masing selain meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang keusahawanan.
Sehubungan itu, beliau menggesa para peserta terbabit untuk memanfaatkan peluang dan bantuan yang diraih daripada program tersebut.
“Ini kerana menerusi program TRUS-MID ini, peserta akan menerima logo dan reka bentuk (produk) baharu serta dilengkapi dengan kod bar serta kandungan nutrisi produk.
“Pada masa sama, peserta juga dibantu mengembangkan pasaran produk mereka ke pasar raya besar yang memerlukan usahawan mematuhi kualiti pembungkusan produk dan syarat piawaian yang ditetapkan,” katanya.
Menurut Joachim, program yang dilaksanakan pada 2011 sehingga sekarang juga telah berjaya membantu ramai usahawan yang berdepan masalah pembungkusan produk.
“Saya dimaklumkan bahawa tahun ini sebanyak 315 permohonan telah diterima dari seluruh Sabah, namun hanya 25 usahawan terpilih selepas sesi temu duga,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri amat komited untuk menyediakan saluran serta platform bagi meningkatkan sosioekonomi Sabah sehingga dapat melahirkan usahawan baharu industri IKS dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri terbabit.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Sabah Cadang Wujudkan Pusat Sehenti Bagi Pelaburan
Discussion about this post