KUALA LUMPUR – Honda Malaysia mengekalkan kedudukan nombor satunya dalam segmen bukan nasional di negara ini untuk tahun keenam berturut-turut dengan menjual 60,469 unit kenderaan pada 2020.
Pencapaian jualan yang mantap itu dipacu oleh model City yang mencatatkan jualan tertinggi dengan 34 peratus daripada jumlah jualan.
Model kedua paling laris keluaran Honda ialah Civic, diikuti HR-V dengan masing-masing menyumbang 20 peratus dan 17 peratus kepada jumlah jualan.
Honda Malaysia dalam satu kenyataan berkata, model serba baharu City mencatatkan jualan bulanan tertinggi dalam sejarahnya dengan lebih 5,500 unit dijual pada Disember 2020.
Dilancarkan secara rasmi pada Oktober 2020, City menerima sambutan positif daripada pasaran dengan lebih 15,200 tempahan setakat ini, menjadikannya salah satu angka tempahan tertinggi bagi model pelancaran baharu Honda Malaysia bagi separuh kedua 2020.
Antara Oktober dan Disember 2020, Honda Malaysia menghantar kira-kira 10,800 unit City baharu kepada pelanggan di seluruh Malaysia.
Model generasi kelima itu berada dalam landasan untuk meningkatkan taraf dalam segmennya menerusi pakej keseluruhan menarik yang melangkaui segmen B, lengkap dengan teknologi canggih, prestasi yang tiada tandingan dan reka bentuk yang bergaya.
Antara tiga varian All-New City, varian V muncul sebagai varian paling popular, menguasai 52 peratus jumlah jualan, dengan permintaan tinggi diterima dari wilayah Tengah Semenanjung, yang menyumbang 48 peratus jumlah jualan, diikuti wilayah Selatan 19 peratus dan wilayah Utara pada 18 peratus.
Berdasarkan jualan yang dicatatkan, warna ‘Platinum White Pearl’ menjadi warna kegemaran pelanggan, mewakili 26 peratus keseluruhan jumlah jualan bagi All-New City.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama, berkata 2020 mungkin tahun yang mencabar, namun pihaknya mampu mengekalkan kedudukan nombor satu dalam segmen bukan nasional untuk tahun keenam berturut-turut dengan jualan 60,469 unit.
Beliau berkata, model City terus membuktikan kedudukannya sebagai model Segmen B bukan nasional yang paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyukai ciri-ciri canggihnya dalam pakej harga yang menarik.
“Bagi pihak Honda Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan kami kerana menjadikan pencapaian ini sebagai yang penting walaupun pada masa yang mencabar ini,” katanya.
BACA SETERUSNYA –Syarikat Automotif Tempatan Lancarkan Laman Web Kereta Terpakai
Discussion about this post