KUALA LUMPUR – Syarikat minyak sawit Malaysia telah dijemput untuk memasuki pasaran Afrika dengan memanfaatkan tanah seluas 600 juta hektar yang tidak digunakan untuk penanaman minyak sawit di benua itu.
Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Bidco Africa, Vimal Shah berkata tanah kosong yang tidak dibangunkan dapat memenuhi perspektif jangka panjang dengan peluang terbuka luas tersedia untuk kedua-dua negara.
“Penduduk Afrika dijangka berjumlah 2.5 juta pada tahun 2050, oleh itu wujud peluang kerana kita memiliki teknologi digital, tanah mencukupi, zona khatulistiwa, zon iklim yang serupa dan ketersediaan tenaga kerja yang tinggi.
“Afrika mempunyai 600 juta hektar yang tersedia dan ia mencukupo untuk menghasilkan minyak sawit untuk rakyat. Untuk perspektif jangka panjang, kita dapat membekal ke seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Bidco adalah syarikat barangan pengguna multinasional yang beribu pejabat di Thika, Kenya.
Vimal berkata ketika ini Afrika mengimport sekitar tujuh juta tan metrik minyak sawit, dengan 37 peratus daripadanya berasal dari Malaysia.
“Kualiti minyak sawit Malaysia lebih baik. Daripada perspektif pembeli, kami tidak melihat perbezaan antara minyak sawit Malaysia dan Indonesia. Secara keseluruhan, kami mengimport kira-kira 2.2 juta tan metrik minyak sawit Malaysia ke Afrika. Rakyat Afrika tidak melihat dari mana asalnya tetapi melihat kepada harga terbaik dan syarat perdagangan,” katanya.
Pada perspektif jangka pendek, rantau itu berharap dapat menggantikan tujuh juta tan metrik minyak sawit yang diimport secara keseluruhan dengan minyak sawit mentah (MSM) Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata Afrika pada 1 Januari lepas melancarkan Kawasan Perdagangan Bebas Kontinental Afrika (AfCFTA) yang akan mewujudkan pasaran tunggal untuk barangan dan perkhidmatan, dengan harapan dapat meningkatkan perdagangan antara negaranya.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Jalin Kerjasama Bagi Jamin Kelestarian Minyak Sawit
Discussion about this post