GEORGE TOWN – Semua sektor ekonomi perlu membuat penyesuaian untuk mengurangkan impak negatif terhadap pembangunan sosio-ekonomi negeri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
“Kita perlu faham bahawa PKP adalah amat diperlukan apabila terdapat penambahan kes COVID-19 yang mendadak sehingga hampir melumpuhkan sistem perubatan awam negara.
“Justeru, semua sektor ekonomi perlu membuat penyesuaian untuk mengurangkan impak negatif terhadap pembangunan sosio-ekonomi negeri. Ini kerana, sekiranya kita tidak dapat memenangi pandemik COVID-19, kesejahteraan ekonomi juga tidak akan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.
Chow berkata mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) COVID-19 Pulau Pinang akan bersidang esok bagi memperhalusi dengan lebih lanjut prosedur operasi standard (SOP) berhubung pelaksanaan PKP dalam tempoh dua minggu di negeri ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – untuk tempoh 14 hari bermula Rabu (13 Jan) hingga 26 Jan bagi memutuskan rantaian jangkitan pandemik tersebut.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Perlu Pakej Rangsangan Baharu Jika PKP Dijalankan
Discussion about this post