PUTRAJAYA – Pasaran modal Malaysia akan terus beroperasi bagi menyokong dan memudahcara proses pengumpulan dana, perdagangan serta pelaburan, dengan semua fungsi pengawalseliaan dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pegerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB), PKP Pemulihan (PKPP) dan Ordinan Darurat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan juga memberikan jaminan kepada rakyat dan pelabur bahawa pentadbiran negara sentiasa disokong sistem kewangan yang teratur, termasuk pasaran kewangan dan pasaran modal.
Beliau berkata, kesinambungan operasi pasaran modal ini penting untuk menyokong ketahanan dan pemulihan ekonomi Malaysia, selain membantu pelabur menguruskan peluang dan risiko pelaburan dalam tempoh berkenaan.
“Saya ingin menekankan bahawa Malaysia mempunyai ekosistem pasaran modal yang berdaya tahan, yang disokong oleh kecairan yang tinggi.
“Mekanisma pengurusan pasaran tersedia untuk mengawal turun naik. Dana pelepasan, serta susun atur margin dan simpanan juga sedia ada untuk memastikan risiko penyelesaian dan pelepasan sentiasa terurus.
“Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bersama dengan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan semasa demi pengurusan risiko secara proaktif di pasaran dan akan melaksanakan langkah pencegahan tambahan, berdasarkan kesesuaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Tengku Zafrul berkata, dari segi intermediasi kewangan dan sistem pembayaran, operasi institusi kewangan dan pasaran kewangan akan diteruskan seperti biasa, dengan perkhidmatan yang terus tersedia dan boleh diakses oleh peminjam.
“Bank Negara Malaysia (BNM) memantau keadaan pasaran kewangan bagi memastikan mudah tunai dalam pertukaran asing, pasaran bon dan pasaran wang (termasuk repo) mencukupi, serta keadaan pasaran kekal teratur.
“Penampan sistem perbankan Malaysia dan amalan pengurusan risiko yang mantap dijangka mampu mengurangkan kesan sebarang potensi penurunan kualiti kredit dan terus menyokong pemberian pinjaman oleh bank kepada ekonomi semasa tempoh Ordinan Darurat dan pelaksanaan pelbagai variasi PKP ini,” katanya.
Menuju ke hadapan, beliau berkata, kerajaan akan terus melaksanakan langkah dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan Malaysia kekal di atas landasan pemulihan pada tahun ini.
Yang lebih penting, Malaysia katanya, mempunyai kecairan domestik yang mencukupi bagi rangsangan fiskal tambahan untuk menyokong kehidupan, mata pencarian dan perniagaan, jika perlu.
“Kementerian Kewangan juga sudah mula mempertimbangkan pelbagai langkah untuk mendokong rakyat dan perniagaan selama tempoh ini. Kita tidak akan berkompromi terhadap kelangsungan hidup rakyat serta perniagaan.
“Asas ekonomi Malaysia yang mantap akan terus membolehkan kerajaan untuk bertindak secara berkesan terhadap persekitaran yang penuh cabaran, serta terus mempertahankan pertumbuhan dan ketahanan ekonomi.
“Akhir sekali, saya ingin menekankan bahawa kerajaan tetap komited untuk membina momentum pemulihan semasa dan memastikan kelestarian jangka panjang bagi kedudukan kewangan awam dan ekonomi negara,” katanya.
BACA SETERUSNYA – Pekilang Lega Dibenarkan Operasi Sepanjang Darurat
Discussion about this post