KUALA LUMPUR – Pertemuan dua hala singkat antara pemimpin utama Malaysia dan Indonesia baru-baru ini menyaksikan komitmen tinggi antara kedua-dua negara untuk memerangi dengan agresif diskriminasi terhadap minyak sawit oleh Eropah, Australia dan Ocenia.
Kerjasama antara dua pengeluar gergasi dunia itu yang menyumbang 87 peratus daripada bekalan minyak sawit global penting, terutamanya kini kedua-dua negara telah mendapatkan perundingan di bawah Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terhadap Kesatuan Eropah (EU) kerana mengehadkan biofuel berasaskan minyak sawit.
Untuk rekod, Indonesia mengemukakan permintaan bagi perundingan itu pada 16 Dis, 2019 manakala Malaysia pada 19 Jan, 2021. Meskipun melakukannya secara berasingan, kedua-dua negara akan bekerjasama dalam usaha memerangi perlakuan berat sebelah terhadap minyak sawit.
“Kempen anti-minyak sawit ini tidak berasas, tidak mencerminkan kelestarian industri minyak sawit di dunia dan bercanggah dengan komitmen EU dan WTO bagi amalan perdagangan bebas,” kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) di Jakarta.
Semasa sidang media kemudiannya, Muhyiddin berkata Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia berhubung isu diskriminasi minyak sawit terutamanya untuk mengukuhkan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) bagi melindungi industri minyak sawit dan menyelamatkan berjuta-juta pekebun kecil yang mata pencarian mereka hanya bergantung kepada minyak sawit.
Perdana Menteri tiba di Jakarta pada lewat Khamis di atas jemputan Jokowi dan kembali ke tanah air pada Jumaat.
Pemegang kepentingan minyak sawit menyambut baik langkah oleh kedua-dua kerajaan itu dengan menyatakan sokongan dan penyelarasan oleh kedua-dua negara menerusi CPOPC penting bagi melindungi industri daripada sebarang bentuk diskriminasi.
CPOPC ditubuhkan secara bersama oleh Malaysia dan Indonesia pada 21 Nov, 2015, untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan industri minyak sawit.
Bagaimanapun, beberapa peserta industri berpandangan kedua-dua pemimpin perlu membincangkan dengan lebih mendalam mengenai isu buruh, terutamanya bagi sektor perladangan kerana ia merupakan kebimbangan utama bagi Malaysia.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Jalin Kerjasama Bagi Jamin Kelestarian Minyak Sawit
Discussion about this post