KUALA LUMPUR – Majlis Pekerjaan Negara (MPN) berharap dapat memacu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sektor korporat dengan menyediakan lebih banyak latihan kemahiran bagi meningkatkan kebolehkerjaan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sejajar dengan peningkatan permintaan digitalisasi.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa mengadakan mesyuarat MPN secara maya dengan wakil daripada sektor korporat, pemain pendidikan dan industri untuk bekerjasama bagi menangani peningkatan kadar pengangguran menerusi inisiatif di bawah Belanjawan 2021.
Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia Datuk Michael Kang Hua Keong berkata penting bagi kerajaan dan sektor korporat untuk bekerjasama bagi meningkatkan kemahiran dan menyediakan kemahiran baharu kepada pekerja bagi menampung peningkatan permintaan dalam sektor teknologi dan seterusnya meningkatkan digitalisasi, terutamanya bagi masa depan pasca pandemik.
“Bidang ini perlu ditangani dengan segera agar PKS dan perniagaan lain boleh melakukan digitalisasi dan dapat menyediakan kepada keperluan negara apabila ekonomi pulih kembali,” katanya dalam satu kenyataan.
Persatuan PKS Malaysia merupakan satu daripada 10 ahli MPN daripada sektor korporat.
Mengenai cabaran pekerjaan, beliau berkata industri tertentu masih berdepan kekurangan tenaga kerja, terutamanya pekerja mahir di tengah-tengah pandemik COVID-19 berikutan peningkatan tempahan yang diterima yang memerlukan mereka melanjutkan waktu operasi.
“Oleh itu kerajaan dan industri berkaitan perlu memainkan peranan mereka dengan menyediakan latihan dan menambah baik kebolehkerjaan bagi kadar pengambilan kerja yang lebih baik dan produk akhir berkualiti di Malaysia,” katanya.
Kerajaan menyasar mewujudkan lebih 160,000 peluang pekerjaan baharu tahun ini menerusi pelaburan dan penyelarasan antara kerajaan dan industri.
Data terbaharu daripada Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan bahawa kadar pengangguran Malaysia meningkat kepada 4.5 peratus pada 2020 — paras tertinggi sejak 1993, apabila kadar pengangguran direkodkan pada 4.1 peratus.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA –Majikan Mahukan Lebih Bantuan Bagi Pekerja Jarak Jauh
Discussion about this post