KUALA LUMPUR – Mereka yang berpeluang mendapatkan vaksinasi COVID-19 wajar memanfaatkan kesempatan tersebut bagi memastikan kejayaan memerangi pandemik serta menyelamatkan nyawa, demikian menurut IHH Healthcare Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jean-François Naa berkata sejak hari pertama berlakunya pandemik itu, IHH telah komited untuk bekerjasama dengan rakan penjagaan kesihatan awam.
Malah, pada masa sama, syarikat itu turut menawarkan bantuan tambahan diperlukan oleh kerajaan seperti aspek pentadbiran vaksin yang tersedia selain menerima pesakit bukan COVID-19.
“Oleh kerana langkah vaksinasi itu dilaksanakan secara berleluasa di peringkat global, kebanyakan daripada rakan sekerja barisan hadapan kami seperti di Singapura, Turki, Chengdu dan Shanghai menjadi antara yang pertama mendapat kemudahan vaksin itu.
“Syarikat induk, IHH Healthcare Bhd, juga telah menyatakan komitmen untuk memberi vaksin percuma kepada semua 55,000 pekerja selain menanggung kos terbabit. Kami juga berusaha untuk memberi penjagaan dan perkhidmatan yang cemerlang kepada setiap pesakit dan keselamatan mereka sememangnya menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Naa berkata pesakit juga boleh menyambung pelan penjagaan kesihatan masing-masing di semua rangkaian 16 hospital di bawah IHH Healthcare Malaysia seperti Hospital Gleneagles, Hospital Pantai dan Pusat Perubatan Prince Court.
Beliau berkata demikian sempena pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.
Muhyiddin juga mengumumkan mengenai vaksin pertama Pfizer-BioNTech COVID-19 yang dijadualkan tiba di Malaysia pada Ahad ini manakala program imunisasi secara berfasa dilaksanakan mulai 26 Februari, 2021.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Pembaharuan Diperlukan Pasca COVID-19
Discussion about this post