KUALA LUMPUR – Program vaksinasi kebangsaan jelas sekali merupakan satu daripada faktor kejayaan penting untuk mencapai pemulihan ekonomi dan kewangan yang dirancang negara tahun ini, kata ahli-ahli ekonomi.
Malaysia bakal memulakan program vaksinasi COVID-19 kebangsaan pada 26 Feb dan menyasar menyelesaikan tiga fasa program imunisasi itu menjelang Februari 2022.
Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Izuan Ahmad berkata kejayaan pelaksanaan program itu sangat penting bagi menyediakan perlindungan mencukupi terhadap virus tersebut serta memupuk sentimen positif dalam komuniti pengguna dan perniagaan.
Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dilanjutkan lagi bagi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor sehingga 4 Mac, 2021, beliau berkata pemulihan pertumbuhan ekonomi negara dijangka masih berada di landasannya.
“Lebih banyak sektor ekonomi, termasuk bukan sektor penting telah dibenarkan beroperasi baru-baru ini dengan prosedur operasi yang lebih ketat.
“Justeru, lebih banyak aktiviti ekonomi telah memulakan semula operasi, menyediakan lebih banyak pekerjaan dan dagangan perniagaan yang seterusnya meningkatkan sumbangan penggunaan swasta kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya kepada Bernama.
Izuan berkata dari segi pelaburan langsung asing (FDI), sentimen positif hasil daripada pelaksanaan lancar program vaksinasi kebangsaan itu juga dijangka meningkatkan kemasukan lebih banyak FDI ke dalam negara.
Sejajar dengan jangkaan peningkatan aktiviti dagangan global pada tahun ini, FDI juga merupakan penyumbang penting dalam mencapai pelan pemulihan ekonomi negara, dengan pendapatan eksport diunjur meningkat dalam masa terdekat, katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata permulaan program vaksinasi Malaysia akan menjadi sandaran utama bagi pembukaan semula ekonomi.
Pelancaran program vaksinasi dan seterusnya imuniti kelompok yang dirancang selesai sepenuhnya pada suku pertama 2022 bermakna keyakinan pengguna dan perniagaan seharusnya bertambah baik memandangkan kadar jangkitan dapat dikurangkan secara beransur-ansur, katanya.
“Apabila pembukaan semula ekonomi dapat dilaksanakan dengan cara yang meyakinkan, lebih banyak perniagaan akan dibenarkan untuk dibuka semula dan pengguna dapat melakukan urus niaga dengan tenang, selain mereka juga akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk membeli barang melalui platform dalam talian.
“Pada era ini, percambahan media sosial bermakna menyampaikan maklumat yang positif dan tepat adalah amat mencabar. Oleh itu, kerajaan perlu meningkatkan usahanya untuk menyampaikan mesej dan maklumat ini kepada masyarakat umum,” katanya.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Kawalan Keselamatan Dipertingkat Bagi Elak Beri Kesan Pada Pertumbuhan Ekonomi
Discussion about this post