KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Bhd (TM) optimis untuk merealisasikan sasarannya dalam menyediakan sambungan jalur lebar gentian optik kepada 840,000 premis di seluruh negara di bawah Pelan Infrastruktur Digital Nasional (JENDELA) menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Azizi A. Hadi berkata walaupun sasarannya melebihi sasaran sekitar 30 hingga 40 peratus lebih tinggi daripada kebiasaan dilakukan oleh syarikat itu, TM telah bersiap sedia dengan ekosistem yang sesuai.
TM telah menempatkan bahan, kontraktor dan kelulusan untuk kelancaran penyambungan gentian optik kepada rumah dan premis perniagaan, katanya.
“Pelaksanaannya setakat ini adalah baik berdasarkan kepada jumlah dicatat pada bulan Januari tetapi kami menghadapi beberapa cabaran pada Februari kerana musim perayaan. TM berharap dapat memenuhi sasaran pada separuh kedua Februari dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran ditetapkan sepanjang tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Tahun lepas, Azizi berkata TM menyiapkan sambungan jalur lebar kepada 300,000 buah rumah, melebihi sasaran awal yang diberikan iaitu 220,000 premis di bawah JENDELA.
Beliau berkata mempercepatkan sambungan Internet di kawasan bandar dan luar bandar adalah penting terutama selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas kerana permintaan tinggi dan telekomunikasi menjadi perkhidmatan penting.
“Semasa PKP pertama, kami melihat kenaikan 50 peratus daripada segi jumlah trafik Internet di seluruh negara dan jumlahnya meningkat sebanyak 15 peratus lagi untuk PKP kali kedua ketika ini,” katanya.
Peningkatan itu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kini bergantung kepada Internet untuk mencari nafkah bukan sahaja bekerja dari rumah tetapi juga memberi akses kepada pelajar untuk belajar dan menghadiri kelas secara maya serta menonton filem dalam talian.
Kerajaan mengumumkan pembentukan JENDELA pada bulan Ogos tahun lepas untuk meningkatkan kesalinghubungan digital dan menetapkan asas negara untuk teknologi 5G.
Dasar itu akan menjadi sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-12 dari 2021 hingga 2025.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA –Pembangunan Jalur Lebar Disasar Pada 1.2 Juta Premis dan Kediaman
Discussion about this post