KUALA LUMPUR – Penyertaan lebih meluas semua sektor ekonomi dalam pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Kebangsaan (MyDIGITAL) amat penting dalam membantu kerajaan mencapai sasarannya untuk meningkatkan daya saing ekonomi melalui pendigitalan menjelang 2030, kata seorang penganalisis teknologi.
Bobby Varanasi berkata pelan tindakan itu adalah kerangka yang mengandungi keseluruhan spektrum ekonomi yang melengkapkan inisiatif terdahulu oleh pelbagai kementerian dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Justeru dengan pembabitan lebih banyak sektor swasta, kerajaan diharap dapat mencapai sasaran itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pelaksanaan ekonomi hijau dan sirkular di bawah Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) rangka tindakan itu akan menggerakkan negara ke arah ekonomi berdigital dan terus bertahan dalam menghadapi situasi penyusutan sumber.
“Ekonomi hijau dan sirkular ini akan bergerak seiring bagi matlamat jangka panjang,” katanya.
Terdapat enam teras di bawah rangka tindakan itu – memacu transformasi digital dalam sektor awam; meningkatkan daya saing ekonomi melalui pendigitalan; membina infrastruktur digital; membangunkan tenaga digital yang tangkas dan cekap; mewujudkan masyarakat digital yang inklusif; dan membina persekitaran digital yang dipercayai, selamat dan beretika.
Teras strategik itu disokong oleh 22 strategi, 48 inisiatif nasional dan 28 inisiatif sektor, yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa hingga 2030.
Di bawah Fasa 1 (2021 hingga 2022), kerajaan menyasarkan untuk memberi tumpuan kepada mempercepatkan penggunaan digital bagi mengukuhkan asas digital yang diperlukan untuk pelaksanaan Fasa 2 dan Fasa 3 yang pesat dan lancar.
Dalam Fasa 2 (2023-2025), peralihan tumpuan kepada memacu transformasi dan kemasukan digital merentasi ekonomi digital, menekankan keterangkuman dalam kalangan rakyat dan semua peringkat perniagaan.
Di bawah Fasa 3 (2026-2030), tumpuan adalah untuk menjadikan negara ini sebagai peneraju serantau dalam kandungan digital dan keselamatan siber.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA –MyDIGITAL Bakal Tempatkan Malaysia Pada Kedudukan Baik
Discussion about this post