KUALA LUMPUR – Menjalinkan usaha sama awam-swasta (PPP) yang kukuh penting untuk membolehkan syarikat tempatan melakukan peralihan ke model perniagaan baharu yang memanfaatkan pendigitalan dalam persekitaran era pandemik dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia, kata iA Group Sdn Bhd.
Pengasas Bersama iA Group Sdn Bhd, Datuk Dr Hamzah Kassim berkata langkah berani dan drastik diperlukan kerana pekerjaan tidak berstruktur dan pembayaran gaji yang tidak setimpal di Malaysia.
“Bursa Malaysia dan kerajaan harus bekerjasama untuk membangunkan PPP yang komprehensif yang akan membolehkan syarikat tempatan melakukan peralihan tersebut.
“Membina daya tahan memerlukan model pembangunan perusahaan harus dikaji semula,” katanya dalam satu kenyataan.
PPP juga dapat menjadi platform untuk memacu transformasi teknologi dengan menawarkan pelbagai peluang yang tiada batasan, katanya.
”Kita harus menerima bahawa pandemik C0VID-1 9 menyebabkan perubahan strategi, pengurusan dan operasi bagaimapun pendigitalan telah dipercepatkan dalam pelbagai sektor.
“Seperti krisis sebelumnya, akan ada implikasi besar pada model pertumbuhan ekonomi masa depan dan negara serta perusahaan yang bersedia menghadapi kebiasaan baharu yang akan berkembang maju pasca pandemik,” katanya.
Hamzah berkata walaupun akan ada yang berjaya dan gagal, apa yang dilakukan syarikat tahun ini akan menentukan masa depan mereka.
“Adalah penting untuk mengkaji semula keutamaan seperti menjadikan transformasi teknologi sebagai pemacu utama pertumbuhan,” katanya.
Perubahan itu akan memerlukan para pemimpin yang dapat membina kemampuan untuk mendorong perusahaan dengan pelaburan besar dalam kemahiran, kompetensi dan pemikitan baharu.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA –Jalin Kerjasama Bagi Jamin Kelestarian Minyak Sawit
Discussion about this post