KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mengakhiri urus niaga dengan indeks utama melonjak 1.18 peratus, didorong oleh aktiviti membeli ketika harga murah terutama membabitkan saham sarung tangan.
Pada jam 5 petang semalam, indeks penanda aras FBM KLCI meningkat 18.58 mata kepada 1,588.45 daripada 1,569.87 ketika ditutup pada petang Selasa.
Pagi ini, indeks utama dibuka 4.89 mata lebih tinggi pada 1,572.03 dan bergerak antara 1,568.65 dan 1,588.45 sepanjang hari.
Pergerakan harga pasaran positif dengan saham untung mengatasi rugi 631 berbalas 559 manakala 416 kaunter tidak berubah, 547 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 10.78 bilion unit bernilai RM6.18 bilion daripada 12.89 bilion unit bernilai RM6.42 bilion pada Selasa.
Seorang peniaga berkata para pelabur menantikan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia yang dijadual berlangsung esok bagi mendapatkan hala tuju seterusnya untuk bursa tempatan.
Bagaimanapun, beliau berkata pasaran telah menjangkakan yang bank pusat akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa 1.75 peratus.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, saham pengeluar sarung tangan Top Glove mengukuh 34 sen kepada RM5.09, Hartalega melonjak 44 sen kepada RM9.85 dan Supermax melambung 55 sen kepada RM4.66.
Selain itu, Maybank naik enam sen kepada RM8.14, Petronas Chemicals meningkat 21 sen kepada RM7.74, TNB menambah 10 sen kepada RM10.46, CIMB menokok satu sen kepada RM4.29 sementara Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM4.22 dan RM5.50 dan Sime Darby Plantation turun satu sen kepada RM4.93.
Antara saham paling cergas, Parkson dan Borneo Oil masing-masing naik setengah sen kepada 19.5 sen dan empat sen, Sealink bertambah 2.5 sen kepada 20.5 sen, Kanger International tidak berubah pada 10.5 sen sementara XOX, EA Holdings dan Dagang Nexchange, masing-masing turun setengah sen kepada lapan sen, 3.5 sen dan 61.5 sen.
– BERNAMA
BACA SETERUSNYA – Bursa Malaysia Catat Kenaikan Semula
Discussion about this post