KUALA LUMPUR – Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen 13 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding 14 peratus pada tahun sebelumnya.
Jumlah dividen itu membabitkan pembayaran sebanyak RM373.36 juta kepada 834,302 anggotanya dan dividen itu akan dikreditkan kepada anggotanya bermula 12 April 2021.
Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata walaupun berdepan persekitaran yang mencabar dicetuskan COVID-19, Bank Rakyat masih berupaya memberikan dividen yang tinggi.
“Keupayaan Bank Rakyat untuk mengekalkan jumlah keuntungan pada tahap yang baik adalah satu pencapaian kepada bank berkat sokongan pelanggan dan anggota Bank Rakyat.
“Walaupun kadar pembayaran dividen mencatatkan pengurangan satu peratus berbanding 2019, namun Bank Rakyat masih mengekalkan pembayaran dividen dua angka sejak 22 tahun lalu,” katanya pada sidang media mengumumkan dividen Bank Rakyat dan prestasi kewangan kumpulan Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermiyati Samsudin, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.44 bilion dan keuntungan bersih sebanyak RM1.38 bilion.
Prestasi kukuh itu dicapai melalui kekuatan asas dan fokus kepada aktiviti teras walaupun dalam keadaan persekitaran yang tidak menentu berlanjutan kesan daripada pandemik COVID-19 dan pasca moratorium.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan, berkata prestasi kewangan 2020 didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang mampan walaupun terdapat sedikit penurunan dalam pendapatan pembiayaan berikutan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang mengakibatkan kemampatan marjin.
Namun demikian, beliau berkata, peruntukan penjejasan yang lebih tinggi setelah mengambil kira potensi pembiayaan terjejas (NPF), sejajar dengan industri, mengakibatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat lebih rendah berbanding keuntungan tahun sebelumnya sebanyak RM1.83 bilion.
BACA SETERUSNYA – Bayaran Dividen Global Dijangka Pulih
Discussion about this post