KUALA LUMPUR – Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjangkakan tawaran tender bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) boleh mula dibuka untuk bidaan bermula Ogos ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zarif Hashim, berkata pihaknya juga telah mengemukakan permintaan untuk maklumat (RFI) kepada peserta industri bagi membolehkan mereka bersedia memandangkan proses tender kali ini adalah berbeza berbanding sebelum ini.
Katanya, terdapat perubahan dari segi kaedah pembinaan projek mega itu yang bertujuan untuk menarik penggunaan dan pembangunan teknologi tempatan.
“Kami mahu memberi penekanan terhadap kaedah pembuatan pembinaan seperti penggunaan sistem binaan berindustri (IBS) dan model bangunan bermaklumat (BIM) dalam projek berkenaan.
“Ini bererti, peserta perlu mahir dengan dua kaedah ini bagi membolehkan mereka menyertai proses tender yang akan mula dibuka pada Ogos ini,” katanya pada taklimat mengenai projek itu di Kuala Lumpur, semalam.
Mohd Zarif berkata, MRT3 juga dijangka akan mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan, berbanding unjuran sebelum ini iaitu tujuh tahun.
Katanya, pihaknya juga merancang untuk meraih dana di antara 10-30 peratus menerusi pembiayaan swasta sebagai sebahagian kaedah untuk membiayai projek itu, manakala dana selebihnya adalah daripada kerajaan.
“Kita merancang untuk melaksanakan model pembiayaan hibrid untuk projek ini dengan menawarkan penyertaan pihak swasta yang bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan.
“Namun, perkara ini masih perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan. Selain itu, jika tiada pihak swasta yang berminat untuk menyertai pembiayaan ini, maka kerajaanlah akan menanggung sepenuhnya pembiayaan projek MRT3 ini,” katanya.
Ditanya mengenai kos projek berkenaan, Mohd Zarif berkata, ia tidak terlalu jauh dengan anggaran yang dikemukakan oleh penganalisis sebelum ini.
Penganalisis menganggarkan yang kos projek MRT3 adalah di antara RM20 bilion hingga RM30 bilion.
Katanya, projek rel itu akan mempunyai 30 stesen, namun jumlahnya akan ditambah lagi nanti, bagi mengurangkan lagi jarak di antara setiap stesen supaya menjadi lebih mesra pejalan kaki.
BACA SETERUSNYA – Usaha Memacu Aspirasi Negara Bergantung Pada Jaringan Keretapi
Discussion about this post