JAKARTA – Ekonomi Indonesia menguncup lebih besar daripada jangkaan pada suku pertama, ketika salah satu negara paling pantas melaksanakan program vaksin di Asia Tenggara itu tidak cukup untuk memulihkan permintaan domestik.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 0.74 peratus pada suku pertama berbanding setahun lalu, kata biro statistik pada Rabu.
Ia lebih buruk berbanding anggaran median -0.65 peratus dalam kali selidik ahli ekonomi Bloomberg.
Namun, ia masih lagi peningkatan berbanding penguncupan 2.19 peratus pada suku terakhir 2020.
“Pertumbuhan ekonomi yang kita capai menunjukkan peningkatan ketara,” kata Ketua Pejabat Perangkaan, Suhariyanto.
“Ini menunjukkan isyarat bahawa pemulihan ekonomi semakin menjadi kenyataan dan pemulihan ekonomi yang kita jangka akan berlaku pada 2021 boleh dicapai.”
KDNK menguncup pada tiga bulan pertama tahun ini berbanding suku sebelumnya, lebih buruk berbanding penguncupan 0.85 peratus yang dijangkakan oleh ahli ekonomi.
“Kemunculan semula virus pada awal tahun ini berkemungkinan memberi kesan kepada penggunaan, walaupun terdapat sedikit isyarat pemulihan baru-baru ini,” kata ahli ekonomi Oversea-Chinese Banking Corp (OCBC) di Singapura, Wellian Wiranto.
“Bank Indonesia berkemungkinan terus mengekalkan kadar dasar tidak berubah, menumpukan kepada usaha memanfaatkan sepenuhnya pusingan pemotongan kadar sistem perbankan yang terdahulu.”
Kerajaan Indonesia baru-baru ini mengekalkan tinjauan pertumbuhan KDNK 4.5 hingga 5.3 peratus bagi 2021, dengan menjangkakan perbelanjaan semasa perayaan Aidilfitri antara April ke Mei akan meningkatkan pertumbuhan pada suku kedua.
Pada Selasa, ia menurunkan unjuran bagi 2022, apabila menjangkakan pertumbuhan 5.2 hingga 5.8 peratus tahun depan, berbanding unjuran awal 5.4 hingga 6.0 peratus.
–BLOOMBERG
BACA SETERUSNYA: – Malaysia Dan Indonesia Setuju Laksana Laluan Hijau
Discussion about this post