KUALA LUMPUR – Di kala negara masih lagi di dalam kemelut COVID-19, Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia terus menghargai golongan pendidik negara melalui penyampaian Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021. BSN selaku penaja utama bagi hadiah Hari Guru 2021 telah menaja sebanyak RM230,000 jumlah keseluruhan hadiah (RM150,000 bagi peringkat kebangsaan dan RM80,000 bagi peringkat negeri).
YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia telah menyerahkan hadiah berupa BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP), masing-masing bernilai RM50,000 kepada dua (2) Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan seorang (1) Tokoh Guru Kebangsaan baru-baru ini.
“Penyampaian kedua-dua anugerah ini adalah tanda sokongan BSN yang tidak berbelah bahagi kepada para pendidik serta institusi pendidikan negara dalam membentuk pembangunan generasi muda yang berkemahiran dan berbudaya tinggi. Sesungguhnya tanggungjawab ini bukanlah mudah dan para pendidik sewajarnya dihargai dan diraikan. Syabas diucapkan kepada semua pemenang” kata Jay Khairil, Ketua Eksekutif BSN.
Datuk Dr. Amin bin Senin, 62, telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2021. Beliau telah berkhidmat selama 15 tahun dalam bidang pendidikan dan telah banyak membentangkan kertas kerja, penyelidikan, penulisan dan juga menghasilkan beberapa buah buku berkaitan dengan pembelajaran serta pembangunan pendidikan. Datuk Dr. Amin juga pernah menerima anugerah antarabangsa iaitu Anugerah Penyelidikan SEAMEO Jasper pada tahun 2009.
Penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2021 yang kedua adalah Datuk Dr. Habibah binti Abdul Rahim, 60, yang telah berkhidmat selama 34 tahun di Kementerian Pendidikan Malaysia. Sepanjang karier beliau, Datuk Dr. Habibah telah menerbitkan penerbitan seperti ‘Model, Instrumen, dan Indeks Perpaduan dalam Kalangan Murid Sekolah serta Impak Terhadap Dasar Perpaduan’ pada 2018 (INTAN Journal), ‘Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025’ (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah), serta pengalaman luas dalam pembangunan dasar, perancangan makro, pelaksanaan dan penilaian program.
Sementara itu, bagi Tokoh Guru Kebangsaan 2021 pula telah dinobatkan kepada Puan Noorizan binti Mohamed, 65, yang telah berkhidmat selama 34 tahun di Kementerian Pendidikan Malaysia. Beliau juga pernah dianugerahkan Tokoh Guru Negeri Selangor pada tahun 2018 dan menerima penghargaan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) atas komitmen dan sumbangan cemerlang di Pejabat Pendidikan Daerah Jeli, Kelantan pada tahun 2021.
Sokongan BSN dalam bidang pendidikan turut merangkumi penglibatan BSN secara aktif dalam aktiviti celik kewangan bersama para pelajar sekolah menerusi program Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) serta banyak lagi. Melalui program ini, para pelajar serta pihak sekolah berpeluang membawa pulang anugerah SGSP bernilai lebih RM290,000 untuk 206 pemenang. Selain itu, BSN turut melaksanakan ‘Kempen BSN Smart Spend’ untuk program ‘Cashless School’ yang telah berlangsung bermula dari 15 September 2020 sehingga 31 Mei 2021. Nilai hadiah bagi kempen ini adalah RM125,000 untuk sekolah dan individu.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen dan keistimewaan menarik yang ditawarkan oleh BSN, hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan BSN melalui talian 1300-88-1900 atau layari laman web https://www.bsn.com.my/.
BACA SETERUSNYA: – Terap Budaya Perbankan Dalam Kalangan Pendidik Dengan Kerjasama BSN,KPM
Discussion about this post