KUALA LUMPUR – Pengecualian cukai jualan kereta penumpang wajar dilanjutkan untuk sekurang-kurangnya akhir tahun ini bagi membolehkan industri automotif mengekalkan pertumbuhan.
Ia susulan peningatan mendadak kes COVID-19 yang menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata cukai jualan kereta penumpang wajar dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.
“Industri belum pulih sepenuhnya dan pemulihan yang berlaku ketika ini masih rapuh memandangkan ekonomi belum sembuh sepenuhnya daripada impak COVID-19.
“Malah, kebimbangan kepada gelombang keempat jangkitan pandemik pada peringkat global dan di Malaysia juga boleh memberi kesan kepada keutuhan pemulihan industri automotif,” katanya.
Pada 29 Disember lalu, kerajaan mengumumkan lanjutan pengecualian cukai jualan kereta penumpang merangkumi 100 peratus bagi model pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus model unit import (CBU) untuk tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2021.
Berikutan insentif yang diumumkan kerajaan itu, harga kereta penumpang termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) mencatat penurunan antara dua hingga sembilan peratus.
Insentif itu menjadi antara pemacu utama lonjakan jualan kenderaan penumpang bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Jualan bagi tempoh Januari hingga Mac 2021, menyaksikan kenderaan penumpang yang menerima insentif pengecualian cukai 100 peratus kenderaan CKD dan 50 peratus bagi CBU mencecah 123,281 unit.
Sektor perbankan turut meraih manfaat apabila pinjaman meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun pada Mac dengan jumlah kelulusan untuk pinjaman kenderaan meningkat sebanyak 22.7 peratus kepada RM12.7 bilion.
Bagaimanapun, Kementerian Kewangan mendedahkan, kerajaan dianggarkan kehilangan hasil cukai mencecah RM1.784 bilion susulan insentif pengecualian cukai jualan kereta penumpang bagi tempoh 15 Jun 2020 hingga 31 Mac 2021.
–BERITA HARIAN
BACA SETERUSNYA: – Jualan Kenderaan Di Malaysia Turun Ke 12.3 Peratus
Discussion about this post