KUALA LUMPUR – Pelaksanaan langkah-langkah luar biasa oleh kerajaan seperti langkah-langkah rangsangan, suntikan mudah tunai yang besar dan moratorium pinjaman sejak awal pandemik COVID-19 telah menstabilkan sistem kewangan dan menyokong pemulihan ekonomi.
Ketua Kumpulan Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) Dr Ong Li Lian berkata turun naik pasaran merosot dengan ketara dengan langkah-langkah untuk menstabilkan sistem kewangan terutamanya pada Mac dan April 2020 apabila turun naik berada pada paras paling teruk.
“Ia kekal tinggi berbanding (paras) sebelum pandemik tetapi merosot dengan ketara, menunjukkan langkah-langkah, terutamanya dalam tempoh ini, berhasil,” katanya dalam webinar bertajuk “ASEAN Financials: The Shape of Things to Come” hari ini.
Bagaimanapun, katanya langkah yang diambil oleh bank untuk mula menghapus kira peruntukan adalah terlalu optimis pada masa ini berikutan Asia masih belum pulih daripada pandemik.
“Mengenai isu bank masuk kira semula peruntukan, orang akan tertanya-tanya sama ada mereka mungkin bertindak terlalu awal berikutan kita masih berdepan dengan pandemik.
“Di Asia sendiri, kita telah mengalami beberapa gelombang dan kini kembali kepada satu lagi gelombang. Kita belum benar-benar keluar (daripada pandemik) dan kita masih di peringkat awal vaksinasi,” katanya.
Beliau berkata organisasi pengawasan makroekonomi serantau itu berhati-hati mengenai kedudukan aset dalam lembaran imbangan bank dengan kenaikan kadar faedah global, yang mendedahkan komplikasi tambahan kepada sistem.
Ong berkata mengekalkan aliran kredit semasa krisis, situasi semasa amat tidak menentu berikutan pengawal selia dan kerajaan belajar dengan melaksanakannya.
“Apabila mereka mengetahui lebih banyak mengenai virus itu dan bagaimana ia berfungsi, mereka dapat menyasarkan dan menentukur langkah-langkah pengawalan mereka dan dasar ekonomi mereka dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata kerajaan telah mahir dalam meneruskan pelbagai inisiatif seperti dasar fiskal dan monetari.
“Keluar daripada pelbagai langkah akan menjadi amat penting dan sekali lagi, itu adalah sesuatu yang mereka perlu belajar apabila mereka melaluinya dan ia amat penting untuk berkomunikasi dengan jelas dengan pasaran mengenai apa yang mereka rancang untuk lakukan,” katanya.
Webinar itu merupakan sebahagian daripada Invest ASEAN 2021 anjuran Maybank Kim Eng dengan tema, “ASEAN Rising: The Next Decade”.
–BERNAMA
BACA SETERUSNYA: Bantuan Sokongan Kewangan Diteruskan Untuk Pelanggan
Discussion about this post