Dalam dunia digital hari ini, panggilan telefon masih menjadi kaedah penting untuk berkomunikasi. Kita akan menggunakannya untuk berhubung dengan keluarga dan rakan, membuat janji temu, dan mendapatkan sokongan untuk produk dan perkhidmatan. Penipu juga percaya bahawa telefon adalah cara termudah untuk mencari mangsa. Penipuan panggilan telefon telah meningkat dan banyak yang menjadi mangsa seperti yang dilaporkan dalam berita.
Apa itu Penipuan Panggilan?
Penipuan boleh didefinisikan sebagai aktiviti yang menggunakan cara yang tidak sah dan tidak beretika dengan tujuan untuk mencuri wang, maklumat peribadi, atau identiti anda dengan menawarkan tawaran menarik atau maklumat palsu.
Penipu biasanya akan berpura-pura menjadi seseorang yang bekerja di syarikat terkenal, institusi kewangan, atau agensi kerajaan yang menghasilkan wang menggunakan kaedah haram.
Cara untuk Mengenali Penipuan Panggilan
Penipuan panggilan ada dalam pelbagai bentuk, tetapi selalunya melibatkan perjanjian dan ancaman atau meminta anda membayar dengan cara tertentu. Agak sukar untuk segera mengenal pasti niat pemanggil yang memanggil secara tiba-tiba. Jadi, ini adalah antara penyebut dan frasa yang selalu digunakan oleh penipu.
1. Meminta maklumat peribadi anda.
Syarikat, institusi kewangan atau agensi kerajaan tidak akan menelefon untuk mengesahkan maklumat yang sulit atau sensitif. Jangan berikan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, nama asal ibu anda, kata laluan atau maklumat sulit lain seperti kod CVV pada kad kredit atau debit, nombor TAC kepada pemanggil. Matikan panggilan tersebut dengan segera sekiranya pemanggil meminta perkara di atas.
2. Anda telah dipilih khas untuk tawaran ini.
Pemanggil mungkin mengatakan bahawa anda “terpilih” untuk tawaran atau tuntutan yang mengatakan anda telah memenangi hadiah, peraduan, atau barang berharga lain tetapi anda perlu memberikan butiran akaun bank anda atau membuat pembayaran untuk memudahkan proses tuntutan.
3. Sila ambil bungkusan penghantaran anda.
Anda menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku sebagai pembawa surat atau perkhidmatan penghantaran bungkusan yang mengatakan bahawa mereka tidak dapat menghantar bungkusan ke rumah anda. Sekiranya anda tidak ingat bahawa anda ada memesan sesuatu yang perlu dihantar, pemanggil boleh cuba meyakinkan anda bahawa bungkusan itu adalah hadiah daripada rakan atau saudara. Pemanggil mungkin kedengaran mesra dan profesional, menyebabkan anda tidak perasan bahawa itu adalah satu penipuan.
4. Mendapat hadiah wang yang tidak dijangka
Untuk menarik minat anda, penipu juga akan meyakinkan anda bahawa anda telah mewarisi atau diberikan sejumlah wang yang banyak oleh saudara jauh atau dermawan kaya. Penipu tersebut biasanya muncul sebagai peguam, pegawai bank atau pegawai asing, dan mendakwa bahawa si mati tiada waris lain. Anda akan diberitahu bahawa harta pusaka yang anda “warisi” sukar untuk diberikan kepada anda kerana peraturan negara, cukai atau sekatan bank di negara tempat wang itu disimpan, dan anda perlu membayar wang dan memberikan maklumat peribadi untuk menuntutnya. Sekiranya anda membuat pembayaran, anda tidak akan menerima jumlah wang yang dijanjikan kepada anda, dan wang anda tidak akan dikembalikan. Penipu ini juga sering cuba untuk mendapatkan maklumat peribadi seperti pengenalan diri atau surat beranak. Sekiranya anda memberi maklumat ini kepada mereka, mudah untuk anda menjadi mangsa pencurian identiti.
Cara Menjawab Penipuan Panggilan
1. Matikan panggilan tersebut dengan segera.
Jangan berinteraksi dengan pemanggil, walaupun anda tahu ia adalah palsu dan berniat untuk mengenakan pemanggil. Dengan meneruskan panggilan, ia membuktikan bahawa nombor anda adalah nombor kepada orang yang hidup. Anda akan diganggu dengan lebih banyak panggilan dengan harapan anda akan menjadi mangsa salah satu penipuan.
2. Cari alasan untuk matikan panggilan.
Pemanggil akan berusaha berbual dengan anda selama yang mungkin dengan harapan mereka dapat maklumat yang mereka inginkan. Salah satu cara untuk menamatkan panggilan tersebut dengan sopan adalah dengan memberitahu pemanggil bahawa anda perlu keluar dengan kadar segera dan anda akan menghubungi mereka semula atau mereka boleh menelefon kembali. Berikan alasan yang boleh dipercayai seperti anda perlu pergi ke tandas, atau anda mempunyai panggilan lain yang menunggu dari ibu bapa atau ahli keluarga anda. Apapun alasannya, anda perlu hentikan panggilan tersebut!
Sumber: consumerinfo.my
BACA SETERUSNYA: 5 Cara Mudah Untuk Menyimpan Wang Semasa Kuarantin
Discussion about this post