KUALA LUMPUR – Kelulusan automatik akan diberikan kepada perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, termasuk pekerja mereka, sekiranya mereka memohon moratorium.
Bantuan ini juga dibuka untuk individu daripada golongan M40 dan T20 yang terjejas pendapatan mereka.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini turut menyatakan moratorium automatik akan diberikan kepada golongan B40 jika mereka memohon, tidak kira sama ada terjejas pendapatan atau tidak.
“Begitu juga perniagaan. Jika kewangan terkesan disebabkan sekatan pergerakan penuh, mereka boleh memohon moratorium dan akan diberikan secara automatik.
“Ia termasuk perniagaan yang berada dalam sektor tidak dibenarkan beroperasi oleh MKN sepanjang tempoh ini.
Tengku Zafrul berkata, bantuan moratorium secara bersasar turut dilaksanakan di beberapa negara, tidak hanya di Malaysia.
Jelasnya, tiada negara yang memberikan moratorium menyeluruh kepada semua perniagaan dan individu, sama ada mereka yang terjejas pendapatan mahupun tidak.
“Moratorium bersasar yang dilaksanakan kerajaan juga seiring dengan pelaksanaan negara lain seperti United Kingdom, Australia dan Singapura.
“Pendekatan ini sama, membantu golongan yang terkesan. Jika terkesan, mereka harus dibantu,” katanya.
Jumlah besar bantuan tunai secara langsung kepada rakyat bagi keseluruhan 2021 adalah sebanyak RM16.7 bilion.
Katanya, pelbagai bantuan masih dalam proses pelaksanaan dengan baki peruntukan untuk tempoh Jun hingga Disember 2021 adalah sebanyak RM8.1 bilion.
“Bantuan kepada perniagaan juga masih belum berakhir. Sejuta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan menerima Geran Khas Prihatin (GKP) pada hujung Jun dan Julai.
“Peruntukan Subsidi Upah juga masih berbaki RM6 bilion untuk disalurkan. Dengan kata lain, kerajaan menampung dan membayar gaji rakyat yang terkesan,” katanya.
Mengulas lanjut, kerajaan juga menyediakan bantuan tidak langsung dan subsidi yang diunjurkan mencecah RM15 bilion tahun ini, berbanding hanya RM9 bilion pada 2020.
Beliau berkata, dengan kenaikan harga minyak global, kerajaan juga akan memastikan impak kenaikan kos sara hidup rakyat dihadkan.
–BERITA HARIAN
BACA SETERUSNYA: MEDAC Beri Bantuan Kepada 734,707 PKS
Discussion about this post