PETALING JAYA – Lebih 6,500 pengusaha restoran dan kira-kira 1,011 premis gunting rambut “gulung tikar” akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0 dan angka itu tidak mustahil akan terus bertambah selepas PKP 3.0, dedah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.
Ketika membuat pendedahan berkenaan dalam satu sidang media maya bersama komuniti perniagaan, Ahli Parlimen DAP itu menggesa kerajaan pusat menyediakan dana bantuan sewa membabitkan peruntukan kira-kira RM1.7 bilion bagi menyelamatkan segera lebih 59,000 peniaga kecil dan 590,000 tenaga kerja daripada terus dihimpit keresahan.
Beliau berkata, pengumuman kerajaan yang hanya memberikan kelonggaran moratorium kepada penyewa premis milik agensi kerajaan dipertikaikan kerana peniaga kecil lain juga turut terjejas ekoran kawalan pergerakan penuh di seluruh negara bermula 12 Mei lalu.
“Oleh itu penting sebuah jawatankuasa khas mengenai dana bantuan sewa dibentuk antara Kementerian Kewangan dan komuniti perniagaan tanpa perlu melengahkannya lagi,” katanya.
Katanya, moratorium untuk sektor perniagaan yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerusi Pakej Pemerkasa Tambahan pada 31 Mei lalu terlalu banyak birokrasi sehingga menyebabkan peniaga kecil gagal mendapatkan bantuan sewajarnya.
Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat tidak berminat membantu komuniti perniagaan merungkai isu pembayaran pinjaman dengan pihak bank.
“Kerajaan PN kurang keinginan politik untuk membantu perniagaan berasaskan komuniti dengan pihak bank terutama ketika negara berdepan lebih banyak perniagaan gulung tikar.
“Pada waktu kritikal ini, institusi perbankan tidak harus melihat kepada keuntungan semata-mata. Fokus mereka perlulah menyokong PKS terutama peniaga kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi,” katanya.
Dalam sidang media itu, Santiago turut berkongsi satu kajian oleh pihaknya bertajuk “Kelestarian Perniagaan” melibatkan 1,196 responden daripada pelbagai industri yang mendapati kira-kira 48% daripadanya hanya mampu bertahan satu bulan jika PKP 3.0 diteruskan atau tiadanya bantuan lanjut daripada Putrajaya.
“Sebanyak 33% daripada responden pula mendedahkan terpaksa menutup operasi dalam tempoh satu hingga tiga bulan akan datang apabila simpanan mereka ‘tenat’, manakala hanya 12% responden mengakui mampu bertahan antara empat hingga enam bulan saja,” katanya.
Selebihnya hanya 7% responden mampu bertahan lebih enam bulan jika tiada sebarang bantuan.
–FREE MALAYSIA TODAY
BACA SETERUSNYA: Bantuan Moratorium Untuk M40, Semua Perniagaan
Discussion about this post